‘Telefon isteri, tak sedar bercakap dengan watak imaginasi’

MENGGALAS peranan utama dalam drama bersiri Astro Originals, Bad Cop mendorong pelakon Aiman Hakim Ridza melalui fasa kemurungan yang teruk sepanjang menjayakan watak tersebut.

Menurut Aiman, 36, cabaran melakonkan watak kembar sebagai Emir dan Imar memberi tekanan hebat sehingga mengganggu kestabilan emosinya malah hampir menyerah kalah sebelum penggambaran selesai.

“Sangat teruk (kemurungan) tapi bukan ke arah bunuh dirilah. Saya jadi gelisah, sangat mengganggu kerana saya tidak datang dari latar belakang watak itu.

Bila telefon isteri saya, saya tak sedar saya tengah bercakap dengan watak imaginasi.

“Saya berkata kepadanya bahawa saya sudah tidak tahan dan ingat nak cabut sebenarnya daripada set penggambaran.  Secara mental, saya benar-benar keletihan,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui di tayangan media Bad Cop di TGV KLCC, semalam.

Bagaimanapun, suami kepada pelakon Zahirah MacWilson itu bersyukur mempunyai isteri dan anak-anak yang menjadi kekuatan utama dalam memulihkan kembali mentalnya.

“Selalunya boleh buang dengan automatik tapi kali ini memberi kesan. Alhamdulillah, saya ada anak dan isteri yang banyak membantu untuk memulihkan kembali mental saya.

Isteri tenangkan saya dan suruh saya solat dan rehat. Dia minta saya bercakap dengan pengarah, Jason Chong dan penulis, V Kavivarmen.

“Saya jumpa balik tuan yang ‘mengisi’ watak dan mereka bantu menenangkan diri saya,” ujarnya lagi.

Bad Cop yang merupakan adaptasi daripada siri jenayah popular Jerman pada 2017 ditayangkan bermula 19 Disember di Astro Citra dan Astro Ria.

Selain Aiman, siri arahan Jason Chong tersebut turut dibintangi Siti Saleha, Harvinth Skin, Razib Salimin, Tony Eusoff, Whulandary Herman, Melissa Campbell dan Alvin Wong. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok