‘Masin mulut semua orang, penutup terindah 2025’

PENTAS berprestij Anugerah Bintang Popular (ABP) sekali lagi melabuhkan tirai dengan menyaksikan kemenangan barisan selebriti terkenal tanah air.

Penganjuran edisi ke-37 tersebut menyaksikan beberapa pemenang yang berjaya menutup kamus kerjaya seni tahun ini dengan kemenangan julung kali diraih mereka.

Paling manis pastinya buat penyanyi bersuara emas, Ernie Zakri apabila diumumkan sebagai Bintang Paling Popular dan Penyanyi Wanita Popular ABP37.

Tidak pernah meletakkan sebarang jangkaan untuk diangkat sebagai Bintang Paling Popular, penyanyi berusia 33 tahun itu berkali-kali menegaskan kejayaan adalah hasil usaha peminat yang tidak pernah lelah menabur undi buat dirinya.

“Sebenarnya ini kemenangan peminat-peminat saya yang tanpa lelah mengundi dan berkempen sesama mereka sejak beberapa bulan lalu.

Bila saya dengar undian lebih 100 juta, saya tergamam dan sesak nafas sebab tertanya-tanya, betul ke sebegitu banyak?

“Namun, itulah kuasa peminat dan jangan sesekali pandang rendah. Bila mereka sudah sayang, inilah hasil yang saya dapat daripada mereka,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Ernie menangis dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular dalam momen yang cukup dramatik kali ini.

Jelas penyanyi yang popular menerusi lagu Ku Bersuara, kemenangan tersebut adalah milik peminat yang sudah bertungkus-lumus menabur undi.

Ernie berkata, kesungguhan peminat mengajarnya menjadi individu yang menolak tepi rasa putus asa untuk terus mengejar setiap perkara diimpikan.

“Tahun sebelum ini tak berjaya tetapi masya-Allah, mereka terus berjuang dan trofi ini adalah hasilnya.

Kadang-kadang bila saya rasa macam nak putus asa dan anggap sudah tiada rezeki tapi mereka selalu pesan perlu terus cuba serta usaha.

“Jadi, saya belajar banyak daripada peminat untuk terus kuat dan sentiasa memperjuangkan apa yang Allah SWT beri,” katanya lagi.

Dalam pada itu, isteri kepada penyanyi Syamel itu tidak meletakkan sebarang harapan untuk membawa pulang trofi Bintang Paling Popular tahun ini dan hanya menyasarkan kategori Penyanyi Wanita Popular yang turut dimenanginya.

“Pastinya, saya hadir dengan sifar jangkaan dan bila menang, rasa sebak, sedih dan gembira itu bercampur-baur.

Boleh dikatakan kemenangan ini adalah penutup terindah untuk tahun ini. Insya-Allah banyak lagi yang akan saya beri termasuk meraikan peminat,” tuturnya.

Diusik mengenai penampilannya yang dikatakan sangat epik dan tidak pernah dilakukan mana-mana pemenang terdahulu, dia akan menyimpan busana tersebut sebagai tanda kenangan.

Persalinan ini akan jadi sangat ikonik dalam kehidupan saya.

“Baju dan tudung ini saya akan simpan buat kenangan. Kemenangan ini sangat luar biasa,” jelasnya.

Hatrik

Sementara, kemenangan diraih Sweet Qismina menerusi kategori Aktres Filem Popular pula sudah dijangka meski finalis Top 5 memberi saingan sengit buatnya.

Kejayaan tersebut sekali gus menjadikan trofi ketiga yang diraihnya pada tahun ini dan layak digelar sebagai kemenangan ‘hatrik’ 2025 hasil lakonan hebatnya dalam filem Babah.

ZAHIRIL menjulang trofi Aktor TV Lelaki Popular yang dimenanginya.

“Syukur alhamdulillah, dengan izin Allah, Babah buka terlalu banyak pintu rezeki untuk saya tahun ini.

Semua ini tak pernah jangka tetapi hasil doa daripada semua orang dan kerja keras peminat mengundi.

“Masin mulut semua orang yang bercakap saya akan menang hatrik, termasuk suami saya,” ujar pelakon berusia 28 tahun itu.

Katanya, kemenangan tersebut juga membawa makna besar dalam kamus kerjaya seninya sejak melangkah masuk dalam dunia lakonan sejak kecil.

Orang tak nampak macam mana saya bergelut sejak kecil untuk kekal berdiri dalam industri sehingga sekarang. Pernah juga fikir berbaloi ke teruskan kerjaya ini.

“Tetapi saya lihat ramai artis senior seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza yang tak pernah putus asa berkarya sejak dulu.

“Dia antara idola yang imejnya sangat baik dan bersih serta saya jadikannya contoh terbaik dalam menjaga nama sendiri juga,” jelasnya.

Pada acara sama, suaminya, Adam Lee juga turut memenangi trofi Aktor Pembantu Filem Popular.

Usaha berbaloi

Haiza pula mencipta sejarah peribadi apabila dinobatkan sebagai Penyampai Radio Popular, sementara Joey Daud tersenyum lebar memenangi Artis Komedi Popular selepas lebih tiga dekad menghibur penonton.

Detik sama turut menyebelahi Nazim Othman apabila meraih Aktor Pembantu TV Popular selepas lebih sedekad mencurah bakti serta beberapa kali tercalon tanpa rezeki.

Selepas puluhan tahun meninggalkan kategori popular sejak kemenangan terakhir pada 1996, kumpulan legenda KRU kembali mencipta nostalgia apabila diumumkan pemenang Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular, sekali gus menutup penantian panjang dengan cukup manis.

Datin Seri Heliza Helmi akhirnya menggenggam trofi Aktres Pembantu Filem Popular meskipun tidak menjalankan kempen agresif seperti finalis lain.

Malah, sepanjang tempoh pencalonan, dia memilih pendekatan berbeza dengan menggunakan platform tersebut untuk terus mengangkat isu Palestin, selari dengan perjuangan kemanusiaan digalas selama ini.

Ternyata kejujuran itu menyentuh hati peminat sehingga menghadiahkan kemenangan bermakna buat peserta misi Global Sumud Flotilla tersebut.

TERBUKTI masih berbisa, KRU diangkat sebagai Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular dalam ABP37. – SYAKIR RADIN

Sementara itu, trofi Aktor TV Popular menjadi milik Zahiril Adzim, yang menganggap kemenangan hadir kerana naskhah drama lakonannya kini lebih dekat dengan jiwa masyarakat.

Ujarnya, keterikatan dengan drama memberi kepuasan berbeza kerana maklum balas diterima hampir setiap hari.

Saya rasa kebanyakan drama yang saya buat lebih dekat dengan orang. Filem-filem pula mungkin lebih artistik, lebih mendalam. Tapi drama membolehkan saya bermain dengan perkara yang orang Malaysia suka, mungkin itu buat penonton rasa dekat.

“Sudah tentu saya gembira. Saya bermula dengan drama. Bila aktif semula buat drama, saya sedar tahap penglibatan penonton jauh lebih tinggi. Setiap hari ada maklum balas. Rasa itu sama seperti teater dulu, cepat dan jujur,” ujarnya.

Pun begitu, Zahiril sempat menasihatkan rakan industri seperjuangan agar tidak menjadikan anugerah sebagai tujuan utama seorang pelakon.

Bagi saya pelakon tak sepatutnya berlakon demi anugerah. Michael Caine pernah kata, jangan anggap lakonan sebagai pertandingan. Menang, kita terlalu suka diri sendiri. Kalah, kita mula ragui diri.

“Saya berlakon untuk menyampaikan naskhah. Pengarah beri cerita, saya terjemahkan ke visual. Bila orang suka, alhamdulillah,” jelasnya.

Detik emosi turut menyelubungi Emma Maembong apabila diumumkan pemenang Aktres TV Popular, menewaskan pencabar kuat seperti Anna Jobling dan Siti Saleha.

Dengan berlinang air mata, Emma menganggap kemenangan itu sebagai pengiktirafan paling bermakna sepanjang kerjayanya.

“Saya sebak sebab dah lama sangat berlakon televisyen. Tak sangka orang hargai dan beri saya satu anugerah untuk dibawa pulang. Rasa macam akhirnya lakonan saya dipandang.

“Anugerah ini macam penghargaan sebab saya banyak kali tercalon tapi tak menang. Ini penutup tahun yang sangat bermakna. Apa pun, saya gembira. Ini rezeki anak-anak saya,” luahnya.

Dalam kategori lain, Raja Azura diumumkan sebagai Aktres Pembantu TV Popular, Fiza Sabjahan memenangi Pengacara TV Popular dan Fattah Amin sebagai Aktor Filem Popular.

Bakat baharu turut diraikan apabila Jazmy Juma dan Umairah masing-masing dinobatkan sebagai Artis Baharu Lelaki Popular dan Artis Baharu Wanita Popular. – HIBGLAM

Senarai pemenang ABP37:

Bintang Paling Popular ABP37: Ernie Zakri
Artis Baharu Lelaki Popular: Jazmy Juma
Artis Baharu Wanita Popular: Umairah
Penyanyi Lelaki Popular: Hael Husaini
Penyanyi Wanita Popular: Ernie Zakri
Artis Kolaborasi / Duo / Berkumpulan Popular: KRU
Aktor Filem Lelaki Popular: Fattah Amin
Aktres Filem Wanita Popular: Sweet Qismina
Aktor Pembantu Filem Popular: Adam Lee
Aktres Pembantu Filem Popular: Heliza Helmi
Aktor TV Lelaki Popular: Zahiril Adzim
Aktres TV Wanita Popular: Emma Maembong
Aktor Pembantu TV Popular: Nazim Othman
Aktres Pembantu TV Popular: Raja Azura
Penyampai Radio Popular: Haiza
Pengacara TV Popular: Fiza Sabjahan
Artis Komedi Popular: Joey Daud

5 kategori sampingan Ekstra Tonton Paling Popular:

Gandingan Serasi Drama Popular: Anna Jobling & Shukri Yahaya
Gandingan Serasi Filem Popular: Emma Maembong & Iedil Putra
Lagu Paling Boom Popular: Nurcinta – Amir Masdi
Artis Kontroversi Popular: Fattah Amin
Seller Terpaling Popular: Datuk Seri Aliff Syukri
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat: Kumpulan Alleycats

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok