HASRAT pelakon Linda Hashim untuk bebas daripada dibelenggu kemelut rumah tangga hari ini tidak kesampaian susulan suaminya, Beego tidak hadir ke prosiding pengesahan lafaz taklik di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini.
Susulan ketidakhadiran pelakon itu, mahkamah menetapkan tarikh baharu pengesahan lafaz taklik Linda dan Beego pada 21 Januari tahun depan.
Peguam yang mewakili Linda, Nurul Fadzilah Kamaluddin berkata, pihaknya juga membawa isu kehadiran defendan iaitu Beego yang beberapa kali tidak hadir ke mahkamah.
“Hari ini, pihak plaintif sepatutnya menyerahkan saman pengesahan lafaz taklik kepada pihak defendan namun prosedur tersebut gagal dilakukan susulan Beego tidak hadir ke mahkamah.
“Ini kali ketiga dia tidak hadir dan sepanjang saya mengemudi kes ini, pihak peguam defendan pun tidak pernah lampirkan sebarang bukti sijil cuti sakit, sijil kematian atau sebarang alasan.
“Hakim mendengar dengan baik isu ini berkenaan ketidakhadiran dan kita mohon juga satu peringatan keras yang pertama daripada pihak mahkamah kepada pihak defendan.
“Yang kedua kita mohon juga untuk diberikan kos atas kehadiran. Pihak hakim juga memberi satu lagi peluang dengan amaran keras kepada pihak defendan termasuk peguam agar cakna dan diwajibkan hadir pada prosiding bulan depan,” katanya kepada HibGlam, hari ini.
Sementara, peguam yang mewakili Beego iaitu Muhammad Akmal Amzan memaklumkan anak guamnya tidak dapat hadir atas alasan kematian ahli keluarga iaitu ibu saudaranya di Johor.
“Dia bukannya seolah-olah susah bagi kerjasama. Sebenarnya anak guam saya masih dalam proses nak pujuk cuma mungkin di hujung-hujung ini mungkin tak ada sinar lagi.
Cuma itulah, kita doakan jalan terbaik macam mana. Mungkin dalam tempoh akan datang nanti, lepas taklik ke apa, tengok macam mana.
“Perbualan saya dengan anak guam belum sampai tahap itu lagi (setuju cerai) tetapi dia beritahu nak cuba selesaikan di antara dia dengan Linda cuma kalau tiada jalan penyelesaian, mungkin perlu selesaikan cara baik,” ujarnya.
Sejak Januari lalu, rumah tangga Linda dan Beego atau nama sebenar Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, menjadi perhatian ramai apabila aktres berkenaan memfailkan perceraian dengan alasan tiada persefahaman.
Mereka pernah bercerai pada 27 Mac 2023 namun mencapai kata sepakat untuk rujuk pada 9 April 2023 dan membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan tiga anak mereka.
Linda bagaimanapun mendakwa mereka kemudiannya bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk, namun kembali bersama tidak lama selepas itu.
Beego dan Linda mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia, 6 tahun. – HIBGLAM
