PELAKON Rita Rudaini menggesa pihak Jabatan Agama Islam mengambil tindakan tegas terhadap individu yang culas nafkah dan gagal melunaskan tanggungjawab terhadap bekas isteri serta anak-anak.
Ujar Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mohammad Mokhtar, 49, masalah nafkah bukan isu baharu, sebaliknya berlarutan sejak sekian lama tanpa penyelesaian tuntas.
“Masalah nafkah ni dah wujud sejak dulu lagi. Sebab itu ‘arwah-arwah’ berani buat sesuka hati.
“Culas bayar nafkah sepatutnya pejabat agama jangan benarkan bernikah lain selagi hutang terhadap bekas isteri dan anak-anak belum diselesaikan,” katanya dalam Instagram Story.
Tambah pelakon filem Mami Jarum itu, kegagalan membayar nafkah wajar dipandang serius sama seperti tanggungan kewangan lain kerana melibatkan kebajikan anak-anak serta masa depan mereka.
“Kalau berhutang pun ada tindakan. Jadi nafkah pun perlu ada sekatan. Nama patut disenarai hitam selagi tunggakan belum dibayar
“Kalau tak, sampai kiamat pun isu tanggungjawab ini tak akan selesai,” tambahnya.
Ibu dua anak itu juga mencadangkan pendekatan sama seperti sistem percukaian dan perbankan diguna pakai terhadap individu culas nafkah.
“Buat macam LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), tak bayar cukai tak boleh ke luar negara. Tak bayar nafkah, jangan benarkan pinjaman, jangan benarkan nikah baharu. Gagal bayar, bankrap!.
“Nafkah anak tetap tanggungjawab bapa walaupun ibu menjaga sepenuhnya, meliputi makan, tempat tinggal, pendidikan serta perubatan,” tegasnya.
Rita turut berkongsi semula artikel berkaitan tindakan sitaan kewangan yang boleh diambil terhadap bekas suami yang didapati ingkar membayar nafkah, sebagai peringatan bahawa undang-undang wajar berpihak kepada keadilan dan kebajikan anak.
Untuk rekod, Rita pernah mendirikan rumah tangga bersama pemain bola sepak kebangsaan Aidil Zafuan pada 2008 sebelum berpisah pada 2013.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna, yang kini menjadi kekuatan utama dalam hidupnya. — HIBGLAM
