TELEFON pintar jenama iPhone edisi terbaharu yang digayakan pelakon dan aktivis kemanusiaan Hazwani Helmi sehingga dikritik ramai pada satu majlis anugerah popular adalah pemberian seseorang, bukan dibeli atas titik peluh sendiri.
Menurut Hazwani atau Nur Hazwani Afiqah Helmi, 28, telefon berkenaan digunakan atas faktor praktikal memandangkan peranti terbabit mempunyai perisian yang menyokong keperluan kerjanya khususnya dalam urusan penyuntingan video.
“Sebenarnya iPhone itu adalah pemberian orang dan saya tidak menyangka menjadi isu yang begitu besar. Tujuan saya memakainya pada malam itu adalah untuk meraikan majlis berkenaan.
“Kedua, telefon tersebut mempunyai ruang penyimpanan yang lebih besar. Saya menyunting semua video sendiri, jadi memudahkan urusan memuat naik kandungan dan kerja-kerja suntingan,” katanya.
Tambah Hazwani, sekiranya terdapat perisian setanding pada produk tempatan, dia tidak teragak-agak untuk memilih jenama tempatan berbanding menggunakan telefon tersebut.
”Kalau ada perisian sebagus ini semestinya saya akan memilih produk lokal berbanding telefon ini,” jelas adik kepada selebriti Heliza Helmi itu.
Hazwani berkata demikian bagi mengulas kritikan segelintir pihak yang mempertikaikan tindakannya menggunakan jenama telefon pintar yang didakwa menyumbang dana kepada Israel, sekali gus dilihat bercanggah dengan prinsip perjuangan kemanusiaannya.
Bagaimanapun, Hazwani menjelaskan isu sumbangan dana kepada Israel bukan hanya melibatkan satu jenama sahaja, malah turut membabitkan platform dan sistem operasi lain.
“Apa yang terbaharu ingin saya kongsikan, sistem android juga merupakan antara penyumbang besar, dianggarkan sekitar 70 peratus.
“Perkara ini tidak boleh dibuat kesimpulan secara tangkap muat dan memerlukan perbincangan yang lebih menyeluruh kerana di luar bidang kepakaran saya,” ujarnya.
Terdahulu, aksi Hazwani merakam video ketika malam kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-37 (ABP37) mencuri perhatian ramai apabila netizen mempersoalkan penggunaan telefon pintar iPhone oleh aktivis Global Sumud Flotilla itu yang didakwa mempunyai kaitan dengan sumbangan dana kepada pihak Israel. – HIBGLAM
