GV12: Persembahan sama setiap minggu, Rahmat Ekamatra tersingkir

ENAM minggu sering memberikan persembahan yang tiada pembaharuan, akhirnya Rahmat Ekamatra tersingkir dari pentas Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) pada konsert minggu ketujuh yang berlangsung malam tadi.

Bertemakan Mixed-Tape, Rahmat atau nama sebenarnya, Engku Rahmat Engku Ismail, 57, menyampaikan lagu Hakikat Sebuah Cinta dendangan asal kumpulan Iklim.

Menurut juri tetap, Datuk Syafinaz Selamat, persembahan Rahmat masih kedengaran sama seperti minggu-minggu sebelumnya cuma hanya ada sedikit kelainan minggu ini.

“Masih ‘nasi lemak’. Tapi ada sedikit tambahan sampingan minggu ini. Ada pergerakan tangan. Cuma saya tertanya-tanya kenapa Rahmat menyanyi kepala senget sebelah,” katanya.

Menjawab pertanyaan Syafinaz, Rahmat memberitahu itu adalah ‘style’ lentok nyanyiannya. Biarpun ada sedikit peningkatan, namun perkara itu gagal untuk menyelamatkan Rahmat daripada tersingkir selepas mendapat hanya 59.59 peratus.

Rahmat sewaktu ditemui pada sidang media sejurus tamat konsert berkata, dia tak mampu mengubah cara nyanyiannya kerana sudah lebih 30 tahun menyanyikan cara yang sama.

“Peminat kenal saya seperti mana saya. Peminat saya pun nak saya menyanyi cara saya. Saya rasa bertuah kerana mereka masih menghargai saya dari dulu sampai sekarang,” katanya.

Dengan tersingkirnya Rahmat dari GV12, kini tinggal sembilan lagi peserta yang akan berentap merebut gelaran juara iaitu Mendua, Mark Adam, Nubhan, Iskandar Ismail, Krisya, Ruri Republik, Shae, Mell Sakura dan Freshies. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok