Simbol kekuatan, empat idola bergelut ADHD

PERBUALAN mengenai kesihatan mental masih berbalut stigma di banyak pelosok dunia, apatah lagi dalam industri K-pop yang sentiasa menuntut kesempurnaan imej.

Namun, keberanian beberapa idola Korea tampil berkongsi perjuangan peribadi membuka tirai baharu dalam landskap hiburan Asia. Kisah mereka bukan sekadar pengakuan, tetapi lambang kekuatan jiwa.

Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) merupakan gangguan neurologi yang lazim muncul sejak usia kecil, lalu terbawa ke alam dewasa.

Keadaan tersebut boleh mempengaruhi tumpuan, pengurusan emosi serta kawalan tingkah laku sehingga menjejaskan keupayaan mengatur kehidupan seharian.

Dalam dunia serba pantas, individu dewasa dengan ADHD sering bertarung dengan keresahan, kemampuan fokus yang mudah goyah serta sukar mengurus masa.

Namun, beberapa bintang K-Pop membuktikan bahawa diagnosis bukan noktah, malah menjadi pemangkin untuk terus bersinar.

Kimchi Panas minggu ini menampilkan empat idola Korea yang berani membuka sisi peribadi mereka, lalu menyalakan harapan buat jutaan peminat di seluruh dunia.

Jungkook

Populariti anggota kumpulan BTS, Jungkook merentasi benua, namun sisi rentannya jarang dipertontonkan kepada publik.

Kemunculannya dalam siaran langsung Weverse (media sosial) baru-baru ini berubah menjadi momen emosional apabila dia berkongsi mengenai diagnosis ADHD dewasa.

Dalam sesi yang mulanya santai, jejaka berusia 28 tahun itu kelihatan gelisah, berjalan ke sana sini sebelum akhirnya duduk semula untuk berbual dengan peminat.

Pendedahan tersebut mencetuskan kehangatan dalam komuniti ARMY (kelab peminat) kerana memberi gambaran betapa sukarnya mengawal tubuh ketika fikiran sukar menetap di satu titik.

Pun begitu, pelantun lagu Seven itu tetap memancarkan aura bintang antarabangsa tanpa membiarkan ADHD menghalang karier gemilangnya.

Sokongan peminat turut mengalir deras selepas pengakuan tersebut, menjadikan detik itu salah satu momen paling jujur dalam sejarah interaksi artis dan peminat.

Diagnosis tersebut akhirnya membuka ruang perbualan lebih matang mengenai kesihatan mental dalam dunia hiburan Korea yang terkenal dengan tekanan ekstrem.

Park Bom

Park Bom, si pemilik vokal unik yang menjadi nadi kumpulan 2NE1, sebenarnya turut didiagnosis mempunyai masalah ADHD sejak zaman sekolah menengah.

Sejak kecil dia menerima rawatan termasuk pengambilan ubat Adderall sebelum kembali ke Korea Selatan untuk mengejar impian seni.

Kisah perjalanannya sering disalahertikan, namun sedikit demi sedikit kebenaran mula diketahui peminat.

Sebagai artis kelahiran generasi kedua K-pop, idola berusia 41 tahun itu melalui pelbagai ujian termasuk kecaman, tekanan industri, serta salah faham mengenai kondisinya.

Walau begitu, vokalnya tetap mencengkam, membuktikan jiwa seni tidak pernah pudar walaupun berdepan cabaran mental.

Henry Lau

Sifat ceria melimpah-ruah penyanyi Henry Lau pernah menimbulkan salah faham ketika menyertai program Real Men pada 2014 dek tindak-tanduknya dianggap terlalu riuh, seperti tidak kena masa.

Namun, di sebalik personaliti bersinar itu, tersimpan sejarah ADHD sejak zaman remaja.

Walaupun gejalanya semakin terkawal selepas umur meningkat, jejaka berusia 36 tahun itu tetap mengakui beberapa kecenderungan masih tersisa serta sukar menahan percakapan apabila ideanya mencurah-curah.

Bagaimanapun, perjuangan peribadi tidak pernah menghalang langkah seni, malah menambah warna pada perjalanan kariernya.

Sikap terbuka pelantun lagu Moonlight itu menjadikan dirinya contoh positif untuk generasi muda yang sedang bertarung memahami diri.

Jackson Wang

Bagi anggota kumpulan GOT7, Jackson Wang pula, perjalanan ADHD bermula sejak era persekolahan di Hong Kong.

Sikap terlalu aktif, banyak bercakap, serta sukar duduk diam membuat gurunya menyarankan perpindahan ke sekolah antarabangsa.

Langkah itu akhirnya membuka laluan kepada dunia lebih luas, termasuk kerjaya hiburan yang menjulang namanya ke pentas global.

Sebagai figura lantang, idola berusia 31 tahun itu tidak pernah menyembunyikan sejarah ADHD malah kisahnya memberi gambaran nyata tentang cabaran seorang remaja hiperaktif yang mencari tempat sesuai untuk berkembang.

Kendatipun sindrom itu masih hadir, pelantun lagu Made Me A Man itu mengakui keadaannya semakin stabil seiring usia. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok