Runtun jiwa, kisah benar ke layar perak

INDUSTRI perfileman Indonesia menyaksikan banyak penghasilan naskhah yang diadaptasi daripada kisah benar, sekali gus menarik perhatian penonton dengan jalan cerita lebih dekat di hati.

Daripada tragedi kemanusiaan, kisah perjuangan, jenayah hingga perjalanan hidup individu luar biasa, filem-filem berasaskan realiti ini bukan sahaja menawarkan emosi yang lebih autentik, malah memberi ruang kepada penonton untuk melihat sisi kehidupan yang jarang dipaparkan di layar perak.

Fenomena ini turut membuktikan bahawa naskhah berasaskan kisah sebenar terus mendapat tempat kerana nilai kejujuran, inspirasi dan impaknya yang lebih mendalam.

Kali ini, HibGlam menyenaraikan beberapa karya yang diadaptasi daripada kisah benar membekas di jiwa penonton Nusantara.

Ipar Adalah Maut


FILEM Ipar Adalah Maut tidak perlu diperkenalkan lagi kerana pernah menjadi fenomena di Indonesia dan Malaysia.

Filem arahan sutradara terkenal Hanung Bramantyo itu menampilkan barisan pelakon hebat seperti Michelle Ziudith, Deva Mahenra dan Davina Karamoy.

Filem berkisar tentang Nisa (Michelle Ziudith), seorang isteri yang hidup bahagia bersama suaminya, Aris (Deva Mahenra) dan anak perempuan mereka, Raya.

Kebahagiaan mereka mula tergugat apabila adiknya, Rani datang tinggal bersama dan merubah segalanya.

Norma: Antara Mertua dan Menantu

SELEPAS ledakan Ipar Adalah Maut, filem Norma: Antara Mertua dan Menantu juga tidak kurang hebat penangannya.

Naskhah arahan pengarah Guntur Soeharjanto itu dihasilkan Dee Company dan diangkat daripada kisah benar Norma Risma yang pernah tular di laman TikTok pada penghujung 2022.

Kisah tersebut mengejutkan ramai apabila mendedahkan pengkhianatan seorang suami dengan ibu isterinya sendiri sekali gus meruntuhkan institusi keluarga.

Filem berdurasi lebih dua jam itu menampilkan Tissa Biani sebagai Norma, seorang wanita pemalu yang bahagia menjalani kehidupan bersama suami tercinta, Irfan (Yusuf Mahardika).

Dari luar, perkahwinan mereka kelihatan harmoni, malah hubungan Irfan dengan keluarga Norma juga amat rapat.

Namun, kebahagiaan itu musnah apabila ibu Norma, Rina (lakonan Wulan Guritno) menjalinkan hubungan terlarang dengan menantu sendiri.

Norma Risma sendiri memberi kebenaran kepada syarikat produksi untuk menterjemahkan kisah hidupnya ke layar perak, selain turut terlibat dalam penulisan skrip bersama penulis prolifik Oka Aurora.

Sampai Titik Terakhirmu

ANTARA filem yang paling ditunggu-tunggu pada 2025 adalah Sampai Titik Terakhirmu karya Dinna Jasanti.

Filem tersebut mengisarkan kisah ketulusan cinta antara Albi Dwizky dan Shella Selpi Lizah yang merupakan pempengaruh popular di Indonesia.

Shella yang dilakonkan Mawar Eva de Jongh merupakan seorang pejuang kanser ovari yang melalui kehidupan sukar dengan ditemani kekasihnya, Albi lakonan Arbani Yasiz.

Masih lagi ditayangkan sejak 13 November lalu, Sampai Titik Terakhirmu berjaya merekodkan 1.5 juta penonton (21 hari tayangan).

Vina: Sebelum 7 Hari

KISAH tragis seorang wanita bernama Vina berasal dari Cirebon, Indonesia yang meninggal dunia pada 2016 menjadi tular.

Segalanya bermula selepas Vina menolak cinta seorang lelaki sekali gus menjadikan suspek berdendam kerana cinta tidak dibalas.

Tragedi menyayat hati itu telah meragut nyawa Vina apabila dia dan teman lelaki dipukul sekumpulan mat motor.

Selepas filem Vina: Sebelum 7 Hari ditayangkan, tiga orang suspek ditahan kerana dipercayai menjadi dalang jenayah berkenaan.

Filem arahan Anggy Umbara itu dijayakan pelakon seperti Nayla Denny Purnama yang membawa watak Veni, Delia Husein, Pritt Timothy, Eduwart Manalu, Cinta Dewi dan Septian Dwi Cahyo. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok