Menghiburkan! Giliran Papa Zola pula ‘mendunia’

DARIPADA penerbit pecah panggung BoBoiBoy dan Mechamato, MONSTA sekali lagi bersama Astro Shaw mengangkat sebuah naskhah animasi berskala besar berjudul Papa Zola The Movie.

Ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dan Brunei mulai 11 Disember 2025 serta di Singapura pada minggu sama, filem ini berjaya menderas rasa teruja kerana buat julung kalinya, watak Papa Zola — karakter ikonik dari siri animasi BoBoiBoy diangkat sebagai ‘pemain’ utama dalam filem.

Papa Zola, yang asalnya muncul sebagai adiwira legenda dalam siri BoBoiBoy, terkenal dengan gaya komedi tersendiri, slogan ‘Demi Kebenaran!’, serta persona guru yang tegas tetapi kelakar.

Populariti itu menjadi asas kukuh kepada kejayaan watak itu diangkat ke layar perak. Menariknya, Papa Zola The Movie turut mendedahkan buat kali pertama, asal-usul Papa Zola yang selama ini tidak pernah dipaparkan dalam mana-mana siri.

Filem ini mengisahkan Papa Zola sebagai seorang bapa kepada Pipi, berusaha menyara keluarga kecilnya selepas tidak lagi menjadi adiwira.

BUAT julung kalinya Monsta mengangkat kisah hidup Papa Zola ke layar lebar.

Kehidupan Papa Zola berubah apabila Pipi diculik makhluk asing dan mengheretnya kembali ke dunia organisasi rahsia P.A.P.A (Protect and Prevent Agency).

Papa Zola dan Mama Zila kemudian perlu berganding bahu menyelamatkan anak mereka sambil berdepan ancaman yang mampu meruntuhkan keamanan dunia menerusi dunia game.

Signatur

MONSTA mengekalkan kekuatan humor Papa Zola, tetapi dalam karya ini disulam dengan elemen aksi yang lebih dramatik serta emosi keluarga yang menyentuh perasaan.

Hasilnya, naskhah ini bukan sekadar komedi ringan tetapi membawa kedalaman tema hubungan ibu bapa dan anak dalam keadaan penuh cabaran.

Meskipun watak Papa Zola diambil dari siri animasi BoBoiBoy, tetapi dalam filem ini penceritaannya mampu berdiri sendiri dengan jayanya.

Andai penonton baharu yang tidak pernah menonton siri BoBoiBoy sekalipun boleh menikmati filem ini tanpa perlu mengetahui ‘sejarah’ watak Papa Zola.

EMOSI kekeluargaan dan kasih sayang bapa antara elemen kuat dalam versi kali ini.

Memang benar seperti kata pengarah, penulis dan Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd. Razak, filem Papa Zola agak berbeza dengan animasi kanak-kanak pernah dihasilkan kerana emosinya lebih berat.

Memang kena pada sasarannya kendatipun golongan kanak-kanak adalah peminat yang membesar dengan siri BoBoiBoy yang kini sudah meningkat dewasa dan memiliki keluarga sendiri.

Jika dinilai dari segi visual dan audio kualiti karya daripada MONSTA tidak perlu dipertikaikan.

Mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan, filem Papa Zola berdiri setanding dengan karya animasi antarabangsa lain — itu pendapat peribadi penulis saat melangkah keluar panggung wayang usai menghabiskan tontonan.

Cuma satu perkara yang membingitkan adalah perkataan kebenaran diulang-ulang secara keterlaluan. Memang benar perkataan tersebut adalah slogan kepada watak Papa Zola.

Tetapi apabila diulang terlalu kerap sehingga pada dialog yang dirasa tidak perlu, perkataan kebenaran itu menjadi agak pelik.

Selain itu, penceritaan dan pembawaan emosi penonton untuk memahami penderitaan Papa Zola diadun dengan cukup sempurna.

Markah peribadi penulis untuk Papa Zola The Movie: 80/100 — sebuah produk tempatan hebat untuk filem berstatus animasi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok