‘Kostum duyung kali ini serlahkan keindahan laut’

DIKRITIK tidak berkualiti, aktres Maya Karin menegaskan pemilihan kostum untuk watak duyung yang dipakainya untuk filem Duyung: Legenda Aurora dihasilkan dengan mengambil kira aspek keselesaan sepanjang tempoh penggambaran.

Maya atau nama penuhnya Maya Karin Roelcke berkata, pemilihan kostum tersebut adalah hasil perbincangan dan persetujuan penerbit, pengarah serta para pelakon.

“Sebenarnya, untuk filem Duyung yang pertama, kostum yang dipakai saya mempunyai warna yang lebih natural, sangat berat dan sangat sukar untuk dipakai.

Tapi untuk kali ini, penerbit dan pihak produksi cuba memudahkan semua orang, bukan sahaja para pelakon tetapi juga kru di set penggambaran.

“Kali ini, kami memilih untuk warna kostum yang boleh menceriakan dan meningkatkan lagi keindahan lautan supaya lebih seimbang dengan ikan-ikan, batu karang dan elemen lain,” katanya kepada HibGlam, semalam.

Ujar Maya lagi, filem yang bakal bertemu penonton di pawagam bulan ini mengetengahkan jalan cerita lebih segar selain banyak konflik yang akan diketengahkan.

Keistimewaan filem kali ini ialah duyung mempunyai kuasa mereka sendiri iaitu boleh berjalan di bumi yang nyata dan juga berenang, itulah kelainannya.

“Semoga apa yang akan ditayangkan nanti memberi kepuasan kepada setiap penonton,” jelasnya.

Terdahulu, segelintir netizen mendakwa kostum duyung yang dipakai Maya dan Anna Jobling kelihatan murah serta tiada kualiti selepas trailer ditayangkan.

Mereka turut membandingkan kualiti kostum tersebut dengan filem Duyung terdahulu yang dilihat lebih realistik.

Sekadar makluman, Duyung: Legenda Aurora bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 25 Disember 2025.

Filem itu turut dibintangi Saiful Apek, Ayie Floor 88, Yasmin Hani, Yassin Senario, Datuk Yusry Abdul Halim, Nadia Brian, Kumpulan Zero, Aniq Aqil dan Aidilia Hilda. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok