‘Kalau tiada ibu rasa kosong, doakan yang terbaik’

DETIK penuh emosi terpancar di karpet merah Anugerah Bintang Popular Ke-37 (ABP37) malam tadi apabila pelakon sensasi, Anna Jobling dilihat berpelukan erat dengan ibunya, Ariz Arop selepas beberapa bulan berdepan kemelut keluarga.

Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 25, mengakui hatinya cukup tersentuh dengan kehadiran wanita yang membesarkannya itu pada acara tersebut.

“Doakan yang terbaik. Terima kasih kepada semua yang mendoakan untuk saya dan keluarga.

“Apa-apa pun dia tetap ibu saya. Syurga saya tetap di bawah telapak kaki ibu saya,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah bintang filem Sukma itu, salah faham yang melanda keluarganya sebelumnya hanyalah ujian kecil dalam kehidupan dan menyifatkan doa ibu sangat penting buat dirinya.

“Walau apa pun terjadi sebelum ini, doa ibu tetap paling penting dalam hidup saya.

“Dia hadir menyokong saya malam ini. Kalau tiada dia, saya rasa kosong. Doakan yang terbaik buat kami,” ujarnya.

Pelukan spontan mereka di karpet merah, ditambah detik manis merakam foto bersama sambil memegang trofi mencuri perhatian ramai.

Selepas hampir tiga bulan hubungan keruh, babak itu memberi isyarat jelas bahawa hubungan ibu dan anak itu kembali jernih.

Pada malam kemuncak ABPBH37, Anna turut meraih kemenangan dalam kategori Gandingan Serasi Drama Popular bersama Shukri Yahaya, menambah lagi nilai sentimental momen tersebut.

Sebelum ini, kemelut hubungan mereka menjadi bualan hangat selepas tular video Ariz mendakwa dirinya diperlakukan seperti ‘anjing kurap’ dan dihalau peguam keluarga itu.

Tidak lama kemudian, Ariz memuat naik foto berada di sebuah balai polis sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi, termasuk dakwaan Anna memohon perintah injunksi terhadapnya. — HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok