5 villain ‘hodoh’ kesayangan dunia

MENGGERUNKAN, namun meninggalkan dampak tersendiri dalam sanubari penonton seluruh pelosok dunia. Itu gambaran buat karakter ‘villain’ atau jahat sama ada melibatkan drama atau layar lebar yang mencetus fenomena.

Tahun 2025 menyaksikan beberapa watak ikonik antagonis menjadi bualan ramai, tidak kira karakter yang sudah ‘diturunkan’ dari tahun ke tahun atau pun yang baru diperkenalkan kepada audiens.

Berikut merupakan antara wajah mengerikan dunia sinema yang bukan sahaja membuatkan penonton kecut perut, bahkan menjadi kesayangan dek keberkesanan lakonan pemain yang dipertanggungjawabkan menterjemah karakter.

PENNYWISE

PENNYWISE adalah tokoh paling terkenal bagi entiti jahat dalam novel IT karya Stephen King. Makhluk itu sebenarnya bukan badut, tetapi entiti kosmik kuno yang datang dari dimensi lain. Dia muncul setiap 27 tahun di bandar kecil Derry, Maine, untuk memburu mangsa, terutama kanak-kanak memandangkan ketakutan mereka menjadikannya lebih kuat.

Pennywise mampu berubah bentuk mengikut ketakutan mangsa, memanipulasi minda dan mencipta ilusi ngeri, selain menggunakan rupa badut untuk menarik kanak-kanak kerana kelihatan tidak berbahaya.

Pennywise akhirnya dikalahkan oleh The Losers’ Club, sekumpulan kanak-kanak yang berani menentangnya dengan kekuatan persahabatan, keyakinan dan keberanian.

LORD VOLDEMORT

Lord Voldemort merupakan antagonis utama dalam siri Harry Potter. Dia dilahirkan sebagai anak hasil hubungan terpaksa antara seorang ahli sihir dan seorang Muggle (manusia biasa).

Dia membesar di rumah anak yatim dan sejak kecil menunjukkan sifat kejam serta minat mendalam terhadap sihir gelap.

Di Hogwarts, dia merupakan pelajar bijak dan karismatik tetapi obsesinya untuk mengatasi kematian membawa dia mencipta Horcrux, memecahkan jiwanya kepada beberapa bahagian untuk hidup kekal.

Merupakan seteru utama Harry Potter, Voldemort antara karakter villain yang masih disayangi sehingga kini.

RAKSASA FRANKENSTEIN

RAKSASA Frankenstein merupakan makhluk ciptaan Victor Frankenstein dalam novel tulisan Mary Shelley. Dihasilkan daripada bahagian tubuh manusia mati dan dihidupkan melalui eksperimen saintifik, makhluk fiksyen itu memiliki tubuh besar, wajah menakutkan dan kekuatan luar biasa, namun mempunyai hati yang lembut dan keinginan untuk disayangi.
Apabila Victor menolak dan membiarkannya sendirian, raksasa itu bersendirian belajar tentang dunia manusia. Namun, penampilannya membuatkan masyarakat ketakutan dan memperlakukannya dengan kejam. Rasa sunyi, penolakan dan penghinaan berterusan akhirnya menukar makhluk itu menjadi penuh dendam.
Makhluk tersebut kemudian menuntut Victor mencipta pasangan untuknya. Permintaan ditolak, lalu dia membalas dendam dengan membunuh orang yang disayangi Victor, menyebabkan berlakunya tragedi demi tragedi.

VECNA

VECNA ialah villain utama dalam Stranger Things. Nama sebenarnya Henry Creel atau One, seorang kanak-kanak dengan kuasa psionik luar biasa yang membunuh keluarga sendiri dan akhirnya menjadi subjek eksperimen Dr. Brenner di Hawkins Lab. Dia merupakan percubaan pertama (001) dalam Program Anak Berkuasa.

Selepas pertempuran dengan Eleven, Henry dihumban ke Upside Down, membuatkan dia berubah menjadi makhluk gelap yang dikenali sebagai Vecna, berbentuk ‘humanoid’ menyeramkan dengan tubuh seperti reput dan urat menjalar.

Sebagai Vecna, dia memburu mangsa menggunakan trauma dan rasa bersalah mereka. Dia merasuki minda mangsa, memperlihatkan mimpi ngeri lalu membunuh dengan cara mematahkan tulang dan memecahkan mata mangsa sebelum ‘mengambil’ jiwa mereka.

ELPHABA


ELPHABA Thropp ialah watak utama dalam naskhah Wicked, digambarkan sebagai ahli sihir wanita berkulit hijau yang sering disalahfahamkan. Dilahirkan dengan rupa luar biasa dan kuasa sihir kuat, dia kerap dipinggirkan sejak kecil.

Ketika belajar di Shiz University, dia bertemu Glinda, dan hubungan mereka bermula dengan permusuhan tetapi akhirnya menjadi persahabatan yang mendalam. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok