NAMA Arena Wan mungkin masih kedengaran canggung bagi sesetengah orang, namun sudah tujuh tahun anak gadis kepada komposer terkenal, Iman Wan ini berkelana dalam industri seni tanah air.
Memulakan langkah dalam bidang seni melalui program Dewi Remaja 2019, laluan Arena atau nama lengkapnya Arena Wan Mun-Yi Iman Wan, 26, tidaklah semudah yang disangka.
Pada awal kemunculan sebagai pelakon, dia pernah digelar pelakon kayu. Malah, kebolehannya bertutur bahasa Melayu turut dipertikai.
Tetapi segala kata nista yang dilemparkan kepadanya tidak sekalipun mematahkan semangat. Setiap kata-kata itu diserap sebagai penguat untuk memberikan yang terbaik.
Tahun 2025 menyaksikan kejayaan besar buat Arena selepas tujuh tahun cuba mengukir nama sebagai anak seni.
Drama lakonannya, Generasi Perfect 10 mendapat perhatian ramai dan dia turut menuai pujian dek lakonannya yang berkesan dalam naskhah yang bertemakan sukan gimnastik itu.
“Tahun ini sangat ‘memorable’ untuk saya. Buat pertama kali, saya memegang watak utama dalam drama tersebut.
“Sebelum ini berkali-kali saya mencuba pergi sesi uji bakat untuk terlibat dengan drama Astro Originals tetapi semuanya gagal.
Sewaktu saya pergi sesi uji bakat, tidak menaruh harapan langsung. Sebenarnya saya hampir-hampir tidak pergi. Tambahan pula drama ini tentang sukan gimnastik. Saya tiada langsung kaitan dengan sukan itu.
“Sewaktu uji bakat, masih ingat lagi saya ada buat silap. Saya lupa dialog tiga kali. Jadi saya semakin yakin tidak akan dapat watak itu walaupun saya pergi uji bakat untuk watak pembantu. Bila dapat panggilan saya diterima dan bakal memegang watak utama, saya rasa macam mimpi,” katanya kepada HibGlam.

SELEPAS tujuh tahun berada dalam industri lakonan, Arena bersyukur bakatnya mula dihargai orang sekeliling. – Solekan & Dandanan ELMANDA ZUHAIRY
Berkongsi lanjut tentang pembabitannya dalam drama yang turut dibintangi Datin Sofia Jane, Sharifah Sakinah, Sherry Merlis dan Arabella itu, kata Arena, dia sempat bertanya kepada pihak produksi kenapa memilihnya memegang watak utama.
Mereka beritahu saya mereka tertarik dengan reaksi saya sewaktu melakukan kesilapan itu. Mereka melihat karakter Ezie dalam diri saya melalui kesilapan itu.
“Biarpun saya diterima sebagai watak utama, banyak kali juga terfikir adakah saya benar-benar layak untuk memegang watak ini.
Namun saya percaya ini adalah waktunya yang ditetapkan Allah untuk saya membawakan watak utama. Inilah waktunya untuk saya buktikan kemampuan saya sebagai seorang pelakon. Sebelum ini saya selalu ‘play safe’ dengan watak sebagai pembantu,” kongsinya.
Dek persembahan Arena dalam Generasi Perfect 10, ramai pihak mula membuka mata dengan bakatnya sebagai pelakon. Maka tawaran demi tawaran mula hadir kepadanya.
Selama ini saya bekerja keras tetapi tiada siapa pandang bakat saya. Mereka tidak pernah mengambil serius tentang saya. Malah ada yang memandang sebelah mata sahaja.
“Tetapi selepas Generasi Perfect 10 ditayangkan, ramai mula buka mata, datang kepada saya dan menyatakan mereka tidak sangka saya boleh menjayakan karakter diberikan dengan baik.
“Saya tidak sangka sebesar ini impak naskhah terbabit terhadap kerjaya saya,” ujarnya.
Selepas tujuh tahun
Lebih membanggakan apabila tahun ini buat pertama kali, dia tercalon dalam Anugerah Bintang Popular (ABP) bagi kategori Artis Baharu Wanita Popular.
“Tak sangka sebenarnya apabila nama saya tercalon. Iyalah sudah tujuh tahun saya bergelar pelakon dan baru kali ini nama saya tercalon. Ketika diberitahu nama saya tercalon saya tanya pada pengurusan adakah perkara ini betul. Sebab rasa macam tak percaya.
Sebagai seorang pelakon saya tidak pernah terfikir untuk kejar sebarang anugerah. Niat saya adalah untuk berkongsi bakat yang ada. Sebelum ini ada juga peminat yang bertanya kenapa nama saya tidak pernah tercalon dalam mana-mana anugerah.
“Malah ibu dan bapa saya pun selalu bertanya tentang anugerah. Kata mereka anugerah penting untuk selebriti mengukuhkan portfolio mereka. Sekurang-kurangnya perlu terima satu anugerah seumur hidup. Jadi bila saya tercalon di ABP, merekalah yang paling gembira,” jelasnya.

ARENA percaya rezeki terpijak yang berlaku pada dirinya terutama pada tahun 2025 adalah hasil bakti terhadap keluarga terutama orang tua dan adiknya yang berdepan masalah autisme. – Penata Gaya AMY MIYAKE
Umum mengetahui keluarga Arena popular dalam kalangan rakyat Malaysia yang mengikuti akaun media sosial mereka.
Arena mempunyai adik lelaki yang menghidap autisme iaitu Adam dan kehidupan mereka sering menjadi perhatian netizen.
Sewaktu menyertai pertandingan Dewi Remaja, Arena memperjuangkan advokasi tentang kesedaran terhadap mereka yang berdepan autisme.
Baginya, adik lelakinya itu merupakan rahmat serta rezeki terbesar keluarga mereka.
Biarpun saya tidak menang mahkota Dewi Remaja ketika itu, tetapi saya memenangi gelaran Dewi Favorite. Saya rasa ramai yang undi saya disebabkan mereka melihat kehidupan saya bersama keluarga saya dan bagaimana saya menjadi kakak kepada adik yang ada masalah autisme.
“Saya rasa adik saya adalah rezeki saya. Berkat saya menolong keluarga menjaganya. Apa sahaja tawaran kerja yang saya dapat saya rasa adalah disebabkan adik saya. Tuhan nak tolong saya,” jelasnya.
Sebagai anak sulung dalam keluarga, Arena menggalas tanggungjawab untuk membantu ibu dan bapanya mencari rezeki selepas mereka banyak berkorban untuk keluarga.
“Ibu dan bapa saya berkorban menjaga adik saya. Mereka tak boleh nak keluar rumah selalu. Bapa saya terpaksa tinggalkan industri muzik sebab nak jaga adik saya.
Saya sebagai anak sulung, menjadi tanggungjawab saya membantu ibu dan bapa saya. Mereka telah berkorban menjaga adik saya supaya saya boleh masuk ke dalam industri.
“Alhamdulillah tahun ini banyak rezeki yang saya dapat. Semua ini adalah disebabkan pengorbanan mereka,” noktahnya seraya mengalirkan air mata. – HIBGLAM
