PENYANYI popular Yuna kekal dengan pendiriannya iaitu tidak akan bekerja dengan mana-mana artis atau jenama yang bukan pro-Palestin.
Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara’ai berkata, prinsip itu tidak akan berganjak sekalipun dia kekal ingin membina nama di Amerika Syarikat (AS) atau Hollywood.
“Tapi, saya ada pendirian sendiri. Contohnya, saya hanya akan bekerja dengan orang yang memang pro-Palestin. Fullstop (muktamad),” katanya ketika ditemui HibGlam baru-baru ini.
Jelas pelantun lagu Crush itu lagi, dia tidak akan mengkhianati solidaritinya terhadap orang Palestin yang sehingga kini masih menjadi mangsa penjarahan tentera Zionis.
“Kalau bukan pro-Palestin, saya tak nak keja dengan mereka.
“Bahkan, saya dah banyak kali cakap ‘tidak’ kepada artis yang bukan (pro-Palestin). Ada seorang DJ nak pakai lagu saya, memang sangat berpengaruh (ada 8 juta followers) tapi saya terpaksa cakap dengan pengurus yang saya tak boleh (bekerjasama),” ujarnya.
Bagaimanaun, kata Yuna, 39, kerjaya muziknya masih berjalan seperti biasa biarpun berdepan dengan pelbagai kekangan terutama di persada antarabangsa.
“Alhamdulillah, setakat ini saya masih okey — saya buat hal sendiri. Ada peluang bekerja dengan orang macam Olmo Zucca (produser pro-Palestin) untuk EP akan datang, saya bersyukur.
“Dia kongsi sentimen yang sama seperti saya cuma tidak tidak lantang seperti saya.
“Cakap tentang perjalanan muzik antarabangsa, masih berjalan seperti biasa tapi sekarang lebih selektif.
“Kadang-kadang di AS rasa macam sangat sunyi tapi sekarang, ramai dah lantang bercakap tentang Palestin dan sebagainya,” ujarnya.
Yuna yang baru sahaja melancarkan jenama fesyen YZ Label bakal hadir dengan album mini (EP) The Valour Hour tidak lama lagi.
Beliau bekerjasama dengan komposer pemenang Anugerah Grammy ke-66, Olmo Zucca, yang pernah menggubah lagu untuk Tyla berjudul Water bagi penghasilan tiga lagu dalam Ep Terbabit.
Sempena pelancaran mini album yang dijangka menemui pendengar bulan hadapan, Yuna turut mengumumkan penganjuran konsert The Valour Hour pada 7 Februari 2026 di Zepp Kuala Lumpur.
Tiket konsert mula dijual pada 8 Disember untuk ahli Yunationals (peminat setia), pra-jualan pada 9 Disember dan dibuka kepada umum bermula 11 Disember (hari ini). – HIBGLAM.
