‘Kalau dapat hidup 1,000 kali pun, saya tetap pilih Zain Saidin’

SELAMA 12 tahun melayari bahtera perkahwinan, pelakon Rozita Che Wan atau Che Ta menzahirkan penghargaan buat suaminya, Zain Saidin kerana sentiasa berada di sampingnya meski kehidupannya sering dilanda badai.

Menurut Che Ta, 52, sepanjang lebih satu dekad tersebut, terlalu banyak perkara yang dilalui bersama dan mengakui tidak mudah untuk dihadapi.

“Dua belas tahun, sayang (15 tahun kenal dan lama betul), entah bagaimana hati saya masih membisikkan nama yang sama setiap kali mencari ketenangan.

“Kita sudah berkongsi satu perjalanan yang bukan selalu mudah, tapi sentiasa jujur. Sentiasa tulus, tentang kita berdua, saling menggenggam tangan.

“Bila dunia jadi susah, awak tempat hati saya pergi untuk berehat. Bila badai datang, awaklah ketenangan yang menarik saya kembali,” katanya dalam satu hantaran Instagram.

Dalam pada itu, dia juga menyifatkan Zain sebagai suami yang sangat menyenangkan selain akan sentiasa dipilih menjadi teman hidup meski dalam kehidupan lain.

“Selama 12 tahun, saya masih memandangmu dengan keyakinan dan rasa syukur yang sama.

“Terima kasih kerana memilih hidup ini bersama dan mencintai saya ketika saya sukar mencintai diri sendiri serta masih menjadi yang paling stabil ketika segala-galanya terasa tidak pasti.

“Selamat ulang tahun perkahwinan ke-12, sayang. Kalau dapat hidup 1,000 kali pun, saya tetap akan mencari dan memilih awak dalam setiap kehidupan.

“Selamat ulang tahun sayang, suami yang sangat menyenangkan,” ujarnya.

Terdahulu, Che Ta dan Zain mendirikan rumah tangga pada 11 Disember 2013. Mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Aaisyah Dhia Rana yang berusia 11 tahun.

Che Ta juga memiliki dua anak lelaki menerusi perkahwinan terdahulu iaitu Ammar Effendy dan Aniq Ezzra. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok