Haqiem Rusli terima Sijil Pengiktirafan Anugerah Emas

MELAKAR kejayaan peribadi, penyanyi Haqiem Rusli menerima Sijil Pengiktirafan Anugerah Emas daripada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) menerusi lagu nyanyiannya berjudul Mimpi.

Kejayaan tersebut diberikan selepas karya berkenaan mengaut pendapatan melebihi RM100,000 melalui penstriman digital.

Menurut Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli, 27, single terbabit sangat dekat di hatinya selain menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak yang terlibat.

“Mimpi sangat istimewa buat saya.

“Terima kasih kepada FMC Music, pasukan saya dan semua pendengar yang sentiasa menyokong lagu ini,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Majlis penganugerahan yang berlangsung di Ibu Pejabat RIM di Solaris Mont’ Kiara, semalam turut dihadiri wakil FMC Music selaku label yang menerbitkan lagu tersebut.

Sementara itu, Pengerusi RIM, Rosmin Hashim memaklumkan pengiktirafan tersebut sekali gus membuktikan karya tempatan masih mendapat tempat di hati peminat.

“RIM sentiasa gembira untuk mengiktiraf artis dan label muzik Malaysia yang berjaya mencapai kejayaan komersial yang membanggakan.

“Pensijilan ini membuktikan penerimaan kukuh terhadap rakaman tempatan bukan sahaja di Malaysia, malah di luar negara.

“Tahniah kepada Haqiem Rusli dan FMC Music atas kreativiti serta dedikasi mereka,” katanya.

Menurut RIM, jumlah pendapatan itu diaudit berdasarkan muat turun, strim audio dan strim video yang direkodkan di platform digital utama.

Pensijilan tersebut sekali gus menjadi bukti karya tempatan masih mendapat tempat kukuh dalam kalangan peminat muzik di Malaysia dan rantau ini.

Diterbitkan oleh FMC Music, Mimpi merupakan hasil ciptaan bersama Haqiem dan penerbit drama, Datuk A. Aida.

Lagu itu dilancarkan di platform digital pada 15 Disember 2020, manakala muzik videonya dimuat naik ke YouTube pada 7 Januari 2021. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok