USAHAWAN dan pempengaruh media sosial, Iqbal Zulkefli mendedahkan momen awal karier lakonannya, termasuk saat paling memalukan ketika beraksi dalam drama Perempuan Itu hingga membuatkan aktor Zul Ariffin hilang sabar.
Ujar Iqbal atau nama sebenarnya Ahmad Iqbal Zulkefli, 31, pengalaman pertama di set drama tersebut benar-benar menguji kesabaran semua pihak apabila dia bergelut menghafal skrip, sekali gus mengganggu kelancaran penggambaran.
“Teringat masa pertama kali saya berlakon Perempuan Itu TV3 dengan Zul Ariffin dan Mimi Lana.
“Hari pertama tu, Zul sampai hilang sabar lalu keluar set sebab saya tak dapat hafal skrip.
“Akhirnya masa penggambaran, mereka letak skrip atas meja supaya saya boleh ikut,” katanya dalam Instagram
Pun begitu, Iqbal berkata, keadaan semakin baik selepas dia mengambil inisiatif untuk mengikuti kelas lakonan kendalian pelakon berpengalaman, Ogy Ahmad Daud, sehingga memberi perubahan besar pada mutu persembahannya.
“Selepas beberapa kali shooting, saya terus daftar kelas dengan Ogy Ahmad Daud dan semua jadi lancar sepanjang 30 hari penggambaran.
“Alhamdulillah, itu betul-betul pertama kali saya terus dapat watak besar. Memang berdebar sebab mereka pelakon hebat,” kongsinya.
Iqbal turut mengakui rasa bersalah kerana menyusahkan tenaga produksi pada hari pertama.
Katanya, tawaran watak besar daripada Erma Fatima datang terlalu mendadak sedangkan dirinya masih hijau dalam dunia lakonan.
“Saya memang rasa bersalah hari pertama tu. Saya menyusahkan produksi, artis dan krew sebab tak boleh hafal skrip.
“Maklumlah, kali pertama berlakon dan terus dapat watak besar daripada Erma Fatima. Sampai mereka terpaksa letakkan skrip atas meja.
“Selepas hari tu, saya cepat-cepat masuk kelas lakonan. Akhirnya saya berjaya habiskan 30 hari penggambaran dengan baik, malah ditambah banyak babak,” jelasnya.
Hantaran tersebut dibuat selepas seorang pengguna media sosial bertanyakan bagaimana pelakon mampu mengekalkan momentum menghafal skrip sedangkan semua itu tugas mencabar buat ramai orang.
Rata-rata netizen pula memberikan reaksi berbeza, ada yang memuji kejujuran Iqbal, manakala sebahagian lain menganggap pengalaman tersebut lumrah bagi pendatang baharu. – HIBGLAM
