Jeddah: Yassin terharu anggota Senario menjaga aibnya

PELAWAK terkenal Yassin terharu dengan sikap ahli Senario yang lain kerana menjaga aibnya sepanjang dia ditahan di Jeddah selama enam bulan.

Menurut Yassin atau nama lengkapnya Yassin Yahya, 47, sebagai adik bongsu dalam kumpulan tersebut, dia memahami sifat abang-abangnya yang akan melindunginya sebaik mungkin.

“Sudah 25 tahun saya bersama Senario. Saya sudah kenal perangai masing-masing. Walaupun mereka kelihatan gila-gila macam mana sekalipun saya tak risau kerana mereka akan cuba sedaya upaya bercakap tentang saya kepada umum.

“Mereka lebih suka saya sendiri yang berdepan dan jelaskan apa yang berlaku kepada saya. Selagi mereka boleh tutup mereka akan tutup,” katanya ketika ditemui di sidang media Konsert Senariounion 30 Tahun di sini, semalam.

Bercerita tentang peristiwa hitam yang melandanya di luar negara, kata pelakon filem Tangkai Jering itu dia menganggap musibah yang menimpa sebagai satu ujian.

“Apa yang berlaku adalah satu musibah yang perlu saya syukuri. Setiap orang ada perjalanan hidup masing-masing. Saya tak tahu mungkin akan datang Allah akan uji lebih hebat.

Paling penting dalam hidup ini saya akan terus belajar. Kesilapan itu memang akan sentiasa berlaku di mana-mana,” jelasnya.

Ditanya adakah dia trauma atau serik untuk kembali ke tanah suci mengerjakan ibadah umrah, kata Yassin, dia teringin kembali ke sana.

“Trauma tak pernah ada dalam kamus hidup saya. Kita tak tahu Allah nak uji macam mana pula selepas ini di masa akan datang.

“Saya sudah pernah ada pengalaman sebelum ini. Pengalaman-pengalaman itu yang mengajar saya untuk menempuh masa akan datang. Saya bukannya budak lagi, saya dah hampir ada cucu dah.

“Untuk kembali ke sana Insya-Allah jika diberikan rezeki saya mahu ke sana bersama anggota Senario dan juga keluarga saya. Tiada larangan untuk saya kembali ke sana. Sebelum ini saya ke sana sebab ditaja. Jadi saya hanya ada masa yang singkat untuk buat persiapan. Kali ini saya mahu buat persiapan yang lebih,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan seorang pelawak terkenal ditahan di Jeddah, Arab Saudi pada Oktober tahun lalu atas kesalahan dadah menjalani hukuman penjara selama enam bulan di negara berkenaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok