Zizie Izette padam semua hantaran IG

Selepas beberapa hari kehilangan suami tercinta, pelakon Datin Seri Zizie Izette dilihat memadam kesemua hantaran dalam laman Instagram (IG) miliknya.

Bagaimanapun, Zizie atau nama lengkapnya Zizie Izette Abdul Samad tidak memperincikan alasan di sebalik tindakan tersebut.

Meskipun begitu, dia masih aktif dalam IG melalui InstaStory dengan menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak dan memaklumkan dirinya masih dilanda kesedihan atas pemergian insan tersayang.

“Terima kasih kepada semua atas ucapan takziah, kata-kata semangat dan doa yang diberikan. Saya sudah membaca setiap satu komen tetapi tidak dapat membalas semuanya.

Saya benar-benar menghargainya. Pada saat ini, saya masih melalui proses berkabung, saya membenarkan diri saya untuk menangis.

“Saya benarkan diri saya untuk merindui, merasai apa sahaja yang saya rasa kerana saya tahu ini adalah perjalanan yang perlu saya lalui. Rasa rindu itu tidak akan pernah hilang.

“Sangat sukar tetapi saya tahu saya perlu terus kuat demi anak-anak,” katanya.

Dalam hantaran tersebut, kakak kepada pelakon Shaheizy Sam itu turut berkongsi foto hitam putih mereka sekeluarga bersama arwah suaminya, Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.

Terdahulu, negara turut bersedih dengan pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah yang menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital swasta pada Jumaat lalu.

Allahyarham sebelum itu menerima rawatan akibat kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan teruk pada paru-paru.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 2009 dengan dikurniakan lima cahaya mata termasuk dua anak angkat, manakala dengan isteri pertama, Datin Seri Nor Asidah Alimuddin, Allahyarham mempunyai dua anak. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok