Ramai peminat, rakan luar negara tanya fasal IVF – Siti Nurhaliza

DILANTIK sebagai duta Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia (MYMT) 2026, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin sedia memberikan komitmen tinggi dalam mempromosikan kepakaran industri perubatan.

Biduanita Negara yang diberikan mandat sejak Julai lalu berkata, Malaysia diperakui mempunyai doktor pakar terbaik serta fasiliti lengkap bertaraf dunia dalam rawatan jantung, kanser dan persenyawaan in-vitro (IVF).

“Ramai melihat saya salah seorang daripada wanita yang melalui rawatan IVF untuk mendapatkan cahaya mata. Jadi kenalan tempatan serta Indonesia sering bertanya saya, di mana lokasi terbaik untuk mendapatkan rawatan IVF.

“Sebenarnya kita juga mempunyai banyak hospital hebat yang menawarkan rawatan IVF terbaik. Saya bangga menjadi rakyat Malaysia,” katanya selepas majlis penyampaian anugerah Hospital Pelancongan Perubatan Utama Malaysia 2025 di sini, hari ini.

Menurut Siti, hebahan sudah digerakkan  secara berperingkat termasuk penerbitan video, perkongsian maklumat mengenai kepakaran hospital tempatan kepada pengikutnya di seluruh rantau ini.

“Saya berharap sebagai individu dikenali di Malaysia, Indonesia dan Singapura, saya dapat membantu memperluaskan capaian kempen promosi MYMT melalui pelbagai platform media sosial.

“Ramai peminat serta kenalan luar negara juga sering bertanyakan pandangan mengenai hospital swasta tempatan termasuk mereka yang datang hanya semata-mata mendapatkan pemeriksaan kesihatan,” ujarnya.

Katanya lagi, lawatan ke beberapa pusat perubatan terkemuka negara membuka lebih banyak ruang pengetahuan tentang teknologi dan kepakaran ditawarkan, sekali gus menggerakkannya untuk berkongsi maklumat tersebut kepada masyarakat.

Pada masa sama, Siti berharap rakyat Malaysia menyokong promosi MYMT 2026 memandangkan kejayaan kempen ini mampu memberikan kesan langsung kepada ekonomi negara.

“Kalau kita sendiri tidak menyokong industri perubatan negara, siapa lagi?

“Saya yakin Malaysia mampu menjadi hub rawatan terbaik dunia melalui gabungan kepakaran, destinasi menarik dan tawaran pelancongan bertaraf dunia,” ulasnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok