Blood Brothers, Syafiq Kyle terima anugerah khas APFF62

FILEM Blood Brothers: Bara Naga dan pelakonnya, Syafiq Kyle mengharumkan nama negara apabila meraih pengiktirafan di Festival Filem Asia Pasifik ke-62 (APFF62) di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kelmarin.

Pada acara itu, Blood Brothers: Bara Naga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Juri, manakala Syafiq pula meraih Anugerah Rising Icon APFF (Kategori Lelaki).

Pencapaian berganda dalam majlis yang disertai karyawan seni luar negara itu secara tidak langsung memartabatkan lagi industri perfileman serta bakat lakonan Malaysia di rantau Asia Pasifik.

Syafiq juga Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-34, (FFM34) menganggap anugerah itu milik seluruh penggiat seni tempatan, sekali gus membuka laluan besar untuk menembusi pasaran luar negara.

“Saya bersyukur dan menganggap penghargaan ini bukan hanya untuk saya, sebaliknya buat semua penggiat seni Malaysia.

“Ini juga membuktikan wujud peningkatan dari sudut pembikinan filem dan drama tempatan ke tahap yang lebih baik.

“Ada juga tawaran dari Indonesia, India dan Thailand, cuma belum ada rezeki kerana kekangan masa,” katanya selepas penyampaian trofi.

APFF62 anjuran Federation of Motion Picture Producers in Asia-Pacific (FPA) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Tourism Malaysia dan Lomo Pictures menghimpunkan karyawan filem, selebriti antarabangsa serta tenaga kreatif dari seluruh rantau ini.

APFF62 disertai 12 negara membabitkan Iran, Jepun, Nepal, Indonesia, Singapura, China, Bangladesh, Korea, India serta Thailand.

Sementara itu, Setiausaha Agung FPA, Pansha berkata, pemilihan Syafiq Kyle sebagai penerima anugerah dibuat sebulat suara berdasarkan prestasi konsisten serta pengaruhnya dalam industri perfileman tempatan.

“Anugerah ini diperkenalkan tahun ini bagi meningkatkan prestij APFF. Kami mahu memberi ruang kepada pelakon muda berbakat dengan tidak hanya tertumpu kepada pelakon veteran semata-mata,” katanya.

Blood Brothers: Bara Naga juga antara penyertaan paling mencuri tumpuan dalam pemilihan yang turut menyaksikan filem terbaik lain termasuk dari Iran 6AM, Crocodile Tears (Indonesia), An Unfinished Film (Singapura), Happyend (Jepun), Regretfully at Dawn (Thailand) dan I Kill You (Korea). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok