‘Saya doakan dia bahagia, perkahwinan ketiga kekal abadi’

MENGHARAPKAN kebahagiaan berkekalan, penyanyi Datuk Awie meluahkan rasa gembira dan bersyukur apabila teman lamanya, Erra Fazira bakal mendirikan rumah tangga buat kali ketiga bersama usahawan, Ezwan Zaini.

Menurut Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 57, sudah tiba masanya bekas tunangnya itu mempunyai seorang suami di sisi untuk menemaninya meniti hari-hari tua.

“Alhamdulillah, saya sangat gembira bila dengar berita Erra nak kahwin. Kami pernah berkawan, bertunang, bergaduh dan kembali bersahabat. Saya rasa persahabatan kami perlu diteruskan dan tak boleh putus lagi.

“Jadi sebagai seorang sahabat saya sentiasa mendoakan kebahagiaan Erra. Semoga dia ceria dengan kehadiran seorang suami di sisi.

“Wanita yang sudah berusia 50-an perlukan seorang suami untuk menjaga dia. Saya doakan dia bahagia dan perkahwinannya kekal abadi, InsyaAllah,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Sembilu, di sini baru-baru ini.

Ditanya adakah dia akan menghadiri majlis perkahwinan sahabatnya itu nanti, Awie sedia hadir ke majlis resepsi yang bakal berlangsung pada 27 Disember nanti.

“Saya sudah terima undangan dan insya-Allah akan hadir di majlis resepsi pada 27 Disember nanti. Untuk majlis nikah saya rasa tak perlu. Biarlah dia nikah dengan aman,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Awie dan Erra bakal disatukan dalam sebuah Konsert Sembilu yang turut disertai Ziana Zain.

Konsert yang bakal berlangsung di Axiata Arena pada 7 Februari hadapan itu dianjurkan sempena mengimbau nostalgia filem Sembilu arahan Datuk Yusof Haslam yang pernah mencetuskan fenomena 31 tahun lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok