SETIAP penyanyi yang melancarkan lagu baharu pastinya enggan terpalit sebarang isu, baik membabitkan karya asal mahupun lagu yang dinyanyikan semula.
Namun, situasi berbeza berlaku kepada penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Seri Rossa apabila keputusan beliau merakam semula lagu ikonik Sinaran nyanyian Datuk Sheila Majid mengundang perhatian.
Perkara tersebut tercetus susulan tiada rundingan awal dengan Datuk Nora Ariffin, waris kepada komposer asal lagu itu, Allahyarham Johan Nawawi.
Selepas video teaser lagu tersebut dimuat naik, Nora menegaskan isu keizinan dan pembayaran royalti tidak hanya membabitkan hak cipta semata-mata, sebaliknya menyentuh kebajikan serta masa depan waris karyawan yang telah pergi.

ROSSA mahu berkarier di Malaysia dan mahu menyanyikan satu lagu original dari negara ini.
Tidak lama kemudian, pemilik nama lengkap Sri Rossa Roslaina Handiyani tampil menjernihkan keadaan dan menganggap apa yang berlaku ada hikmah.
“Saya sendiri terkejut apabila tahu isu ini. Kami memang sudah membuat bayaran dan tiada masalah.
Namun, saya melihat perkara ini ada hikmahnya kerana saya sebenarnya mengenali Nora sejak 25 tahun lalu.
“Saya juga baru mengetahui komposer lagu Sinaran adalah kenalan lama saya iaitu arwah Johan,” katanya kepada HibGlam.
Dalam masa sama, Rossa memaklumkan perbincangan bersama Nora berjalan dengan harmoni memandangkan mereka sudah lama saling mengenali.
“Kami sudah berbual dan berbincang. Nora sedang memperjuangkan hak waris dan saya sangat memahami kedudukannya.
Kebetulan pula saya menyanyikan semula lagu itu dan mengenali mereka. Alhamdulillah, komunikasi kami berjalan dengan lancar dan saya turut membantu menguruskan perkara ini,” ujarnya.
Tambahnya lagi, isu royalti bukan perkara asing dalam industri muzik dan turut berlaku di negaranya.
Di Indonesia juga berlaku isu yang sama antara penyanyi dan pencipta lagu. Kebanyakanya membabitkan royalti yang tidak dibayar.
“Jadi saya sangat memahami situasi ini,” jelasnya lagi.
Peminat Sheila Majid
Beralih topik perbualan, wanita berusia 47 tahun itu mengakui mengidolakan Datuk Sheila Majid dan kerana itu bersetuju merakam semula lagu Sinaran.
“Dari dulu saya dan penerbit muzik, Dipha Barus merupakan peminat setia Datuk Sheila Majid serta suka dengan lagu Sinaran.
Saya juga mahu berkarier di Malaysia, jadi harus ada satu lagu original dari negara ini,” jelasnya.

MK menjadi pilihan Rossa sebagai rakan duet menerusi lagu Sinaran.
Untuk memberikan sentuhan segar, Rossa turut menambah bahagian rap dan mempelawa penyanyi MK menyertai projek tersebut.
“Saya banyak kawan-kawan dari KL, jadi saya tanya siapa rapper di sini. Joe Flizzow pernah bekerja dengan saya beberapa kali.
Tapi saya mahu generasi yang berbeza. Kawan-kawan cadangkan untuk tengok K-Clique dan perkenalkan MK.
“Saya rasa dia sangat sesuai untuk ambil bahagian rap dalam lagu Sinaran,” kongsinya.
Mini album
Pelantun lagu Pudar itu turut memaklumkan projek Sinaran antara lagu dalam EP terbaharunya berjudul Asmara Dansa yang menampilkan karya-karya lama tetapi diberi nafas moden.
“Saya mahu melancarkan mini album berjudul Asmara Dansa. Lagu-lagu dalam itu memang ala-ala mengajak orang menari.
Jadi, saya dan Dipha mahu melestrasikan karya-karya yang sudah lama dicipta bermula dari saya berkarier atau sebelum.
“Orang pun dah lama tak menyanyikan lagu itu. Jadi saya fikir alangkah indah jika kita menyanyikan semula Sinaran supaya menjadi ingatan atau warisan,” tutupnya. – HIBGLAM
