‘Tukar agama pilihan peribadi, pertalian darah takkan putus’ 

BAGI menghayati watak seorang mualaf dalam filem Ninavau, pelakon Jovenea Jim yang beragama Kristian sanggup belajar solat dan berwuduk.

Menurut Jovenea yang berasal dari Sabah, Islam bukanlah asing baginya kerana ada keluarga dan teman baiknya sendiri juga mualaf.

“Watak Ninavau emosinya sangat berat dan demi menjayakan watak selain melihat orang-orang di sekeliling, saya sendiri belajar bagaimana untuk berwuduk dan solat.

Saya banyak belajar daripada pemerhatian di sekeliling. Apa yang ditunjukkan dalam filem ini memang berlaku di Sabah dan saya sudah bersedia untuk dikecam oleh komuniti saya sendiri kerana pegang watak ini,” tutur Jovenea.

Selain itu, filem Ninavau juga cukup dekat dengan pengarahnya, Bebbra Mailin yang terpanggil untuk berkongsi konflik yang dihadapinya ketika menjadi seorang mualaf lima tahun lalu.

SEBAGAI pengarah, Bebra memilih menggunakan pelakon asal Sabah kerana ingin dekat dengan sasaran penonton. – ZAIRUL IZZWAN

“Saya dibesarkan di Sabah dalam sebuah keluarga Kristian Katolik. Ketika umur 18 tahun saya berhijrah ke Semenanjung untuk melanjutkan pelajaran.

Saya memeluk agama Islam pada 2020 dan setiap konflik bersama keluarga yang saya tonjolkan dalam filem ini saya telah laluinya terlebih dahulu.

“Walaupun cerita ini lebih dekat dengan orang Sabah, tetapi isu yang mahu diangkat adalah penerimaan keluarga dan toleransi masyarakat di Sabah. Penukaran agama itu adalah pilihan peribadi dan pertalian darah tidak akan putus walau apa yang terjadi,” kata Bebbra tentang filem cereka pertamanya.

Tambah Bebbra, asalnya Ninavau dihasilkan dalam bentuk filem pendek dan idea asalnya adalah tentang sahabatnya yang memeluk agama Islam.

Realiti

Namun, selepas karya tersebut diangkat sebagai Filem Pendek Terbaik dalam Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) pada 2019, Bebbra akhirnya mendapat peluang untuk menghasilkan filem cereka pertamanya.

“Ketika mengarah filem pendek Ninavau saya masih beragama Kristian. Saya adalah watak yang mempersoalkan kenapa perlu menukar agama dan nama.

Tetapi ketika mengarah filem pada 2022 saya telah pun memeluk agama Islam. Jadi, naratif agak berbeza, namun matlamatnya tetap sama mahu menyampaikan mesej yang positif meskipun isu ini sensitif,” luahnya lagi.

MESKIPUN selepas dua tahun diperam, filem Ninavau yang berkisarkan penerimaan keluarga berhubung penukaran agama tetap relevan untuk tontonan umum.

Filem Ninavau mendapat klasifikasi sebagai P16 meskipun tiada sebarang adegan seksual atau ganas.

Kata penerbitnya, Muzzamer Rahman, klasifikasi tersebut diberikan mungkin kerana karya berkenaan menyentuh aspek agama selain banyak babak dalam gereja.

“Sebelum ditapis oleh pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF), kami sendiri telah tapis dan mengikut segala garis panduan yang ditetapkan pada peringkat skrip lagi.

Cuma hanya ada satu babak yang dikeluarkan oleh pihak kami sendiri iaitu babak watak utama Ninavau makan babi.

“Meski kita semua tahu realitinya pelakon itu beragama Kristian, tetapi dalam filem dia memegang watak wanita Islam.

Jadi, sebelum dijadikan kontroversi dan propaganda lebih baik kami buang babak tersebut,” ujar Muzzamer.

Filem terbitan Le Mediator Studio dan Kristal Azmir tersebut dijadualkan menemui penonton di pawagam bermula esok (4 Disember).

Karya berpaksikan masyarakat Sabah tersebut dibintangi Jovenea Jim, Edward Sinsong (Edward) dan Tati Eliana Tonny (Elvira). Bintang terkenal Fatimah Abu Bakar dan Hasnol Rahmat juga tidak ketinggalan meminjamkan aura dalam Ninavau. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok