‘Tudung mesti labuh tutup dada, saya selesa’

DIPUJI kerana tampil berhijab dengan penuh sopan dan menutup aurat secara sempurna, pelakon serta penyanyi Elly Mazlein meluahkan rasa syukur apabila perubahan penampilannya diterima baik peminat.

Ujar Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 45, penghijrahan dirinya hadir seiring usaha menambah ilmu selain memahami setiap tuntutan agama.

“Alhamdulillah, tak ada apa pun. Bila saya berhijab, memang nak ikut syariah walaupun belum sempurna. Kita cuba dulu mana yang boleh sebab kita masih belajar.

Ilmu ni datang sedikit demi sedikit jadi saya cuba jaga sebaik mungkin. Saya nak pakai apa yang buat saya selesa dan saya selesa bertudung labuh.

“Keluar rumah pun pilih tudung labuh sebab itu paling sesuai dengan saya . Apapun, terima kasih, kadang-kadang kata-kata tu jadi semangat untuk kita terus istiqamah mahu jadi muslimah lebih baik,” katanya kepada HibGlam.

Tidak hanya penampilan harian, pelakon Kampung People itu mengakui tudung labuh sudah menjadi syarat wajib setiap kali menerima apa-apa tugasan seni.

“Memang syarat saya kalau ada tawaran atau kerja, saya akan beritahu awal ‘stylist’ bahawa tudung mesti labuh menutup dada.

Saya pilih bawal sebab mudah untuk bekerja. Stylist pun saya maklumkan supaya apa jua gaya tetap tutup bahagian sepatutnya.

“Setakat ni semua ‘hijab stylist’ sangat bagus. Tak ada isu pun tentang tudung labuh akan menutup fesyen sebab saya memang selesa begitu,” jelasnya.

Paling penting kata pelantun lagu Sayap itu, produksi drama dan filem turut memberi sokongan penuh terhadap prinsipnya dlam menjaga aurat.

“Baru-baru ni ‘shooting’ pun semuanya okey. Mereka tak ada masalah dengan pemakaian saya.

Saya pakailah jenis tudung macam mana pun asalkan labuh, mereka terima. Alhamdulillah, semua dipermudahkan,” ujarnya.

Terdahulu, Elly mencuri perhatian ramai selepas tampil bertudung penuh di pentas akhir Kilauan Emas 2025 pada 4 Oktober lalu di Royale Theatre Shah Alam, sekali gus menandakan fasa baharu dalam perjalanan hijrahnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok