‘Terima kasih pintu yang tertutup, itu bukan jalan terbaik untuk saya’

MERAIKAN ulang tahun ke-40 dengan penuh kesyukuran, pelakon Puteri Sarah Liyana menyifatkan segala yang dilalui sama ada suka atau duka memberi nikmat tersendiri.

Puteri Sarah atau nama lengkapnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berkata, setiap pengalaman dilalui sepanjang 2025 menjadikannya insan yang kuat.

Selamat hari lahir kepada diri sendiri. Saya bersyukur atas setiap peluang yang telah membantu saya berkembang sepanjang tahun ini.

“Saya juga berterima kasih atas setiap pintu yang tertutup, kerana itu bukan jalan yang terbaik untuk saya,” katanya dalam hantaran di Instagram.

Pada perkongsian sama, ibu kepada dua cahaya mata itu turut mengabadikan foto menyambut ulang tahun bersama permata hati serta beberapa individu dipercayai ahli keluarga pelakon Indonesia, Andi Arsyil di sebuah restoran di Jakarta, Indonesia

Menerusi hantaran sama, Puteri Sarah menitipkan doa agar tahun baharu yang hanya berbaki beberapa minggu lagi membawa ketenangan serta ruang bermuhasabah.

“Pada tahun yang bakal datang, saya mahu meluangkan masa di tengah-tengah kesibukan untuk menenangkan fikiran.

Saya ingin merenung siapa diri saya, dan siapa yang ingin saya jadi. Saya akan mencari dan mengenali diri saya sepenuhnya,” ujarnya.

Difahamkan, pelakon drama Evolusi KL Drift: The Series itu bercuti bersama anak-anaknya di Indonesia sejak empat hari lalu.

Terdahulu, selepas bercerai dengan pengarah Syamsul Yusof pada Jun 2023, Puteri Sarah dilihat akrab dengan Andy.

Begitupun, kedua-duanya mengakui hubungan mereka berlangsung secara profesional iaitu sebagai rakan perniagaan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok