PENYANYI yang juga bekas anggota kumpulan Dolla, Syasya Rizal selamat melahirkan bayi perempuan di sebuah pusat perubatan semalam.
Menurut Syasya atau Norsyasya Afiqah Shahrizal, 24, dia bersyukur dengan kelahiran tersebut yang dianggap sebagai amanah Allah SWT buatnya dan suami, Nasrullah Mohd Sapie.
“Masya-Allah, Alhamdulillah 1 Disember 2025 lahirlah seorang lagi cahaya mata dalam hidup mama dan bapak.
Lahirlah puteri kami. Allah titipkan lagi satu amanah untuk kami jaga, sayang dan bimbing.
“Selamat datang ke dunia, sayang kecil mama,” katanya dalam Instagram hari ini.
Menerusi hantaran sama, dia turut memuat naik video memaparkan suaminya Nasrullah mendukung sambil mengazankan bayi mereka.
Syasya bagaimanapun tidak berkongsi lanjut nama anak keduanya itu.
Terdahulu, Syasya mendirikan rumah tangga dengan Nasrullah pada 20 April tahun lalu dan dikurniakan anak sulung, Mohd Yassir Hayyan yang kini berusia setahun. – HIBGLAM
