TIADA lagi teka-teki, pelakon dan penyanyi jelita, Erra Fazira mengesahkan bakal melangsungkan pernikahan dengan ahli perniagaan, Ezwan Zain atau Mr. E pada 12 Disember ini.
Erra atau nama sebenar Fazira Wan Chek, 51, berkata, perkara itu diputuskan dengan keluarga yang sepakat memilih tarikh berkenaan yang jatuh pada hari Jumaat.
Terima kasih kerana sentiasa mendoakan yang baik-baik. Insya-Allah, 12 Disember 2025 adalah tanggal keramat kami,” katanya pada majlis tayangan perdana muzik video (MV) Cinta Abadi hari ini.
Air mata gembira selebriti terbabit menitis malah suaranya juga kedengaran sebak ketika berkongsi berita tersebut.
Ini air mata gembira, bukan sedih,” ujarnya Primadona Filem Melayu Alaf Baharu itu.
Pengumuman berita gembira itu diadakan serentak dengan pelancaran MV juga lagu tema untuk hari bahagianya nanti.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu turut memaklumkan majlis resepsi untuk keluarga akan berlangsung pada 13 Disember manakala 27 Disember pula membabitkan kenalan.
Sejak semalam tersebar desas-desus mengenai pengumuman tarikh pernikahannya dengan ahli perniagaan berusia 44 tahun itu.
Ketika diwawancara HIBGLAM, Erra mengakui meninjau beberapa dewan acara atas pelawaan rakan namun menafikan membuat sebarang tempahan.
Sebelum ini Erra memaklumkan persahabatan dengan Mr. E yang semakin akrab sekitar awal tahun ini sudah sampai ke pengatahuan keluarga apabila ibunya bertemu lelaki itu.
Mr. E juga berstatus duda pula mengakui mula menjalinkan hubungan serius dengan ratu cantik berkenaan selepas berkenalan pada Ogos 2024.
Erra pernah berkahwin dengan Engku Emran pada 25 Oktober 2007 sebelum berpisah tujuh tahun kemudian dan dikurniakan seorang anak perempuan, Engku Aleesya yang kini berusia 16 tahun.
Sebelum itu, dia juga pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Datuk Yusry Abdul Halim pada 2003 namun berakhir dengan perceraian tiga tahun kemudian tanpa cahaya mata. – HIBGLAM
