LAPAN tahun menunggu dengan sabar, penyanyi Indah Ruhaila mendedahkan bakal menimang cahaya mata pertama tidak lama lagi.
Indah atau nama sebenarnya Siti Ruhailah Hussein,38, berkata, kurniaan Allah itu merupakan anugerah terindah yang diberikan kepadanya dan suami, Ahmad Shariff Ahmad Taufik.
“Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang, Alhamdulillah. Lapan tahun penuh keajaiban,” katanya dalam hantaran di Instagram.
Menerusi perkongsian sama, penyanyi lagu Percayalah itu turut berkongsi beberapa gambarnya dengan perut yang semakin membesar.
INDAH bagaimanapun tidak memperincikan usia kandungannya, namun rata-rata netizen meneka dia kini di fasa trimester ketiga kehamilan.
Ramai rakan artis serta pengikutnya menyampaikan ucapan tahniah selain menitipkan doa terhadap kesejahteraan pasangan terbabit.
Alhamdulillah, tahniah buat kalian berdua,” tulis penyanyi, Anuar Zain.
“Terima kasih Ya Allah kerana memakbulkan doa sahabat ku ini,” kata seorang netizen.
Terdahulu, Indah dan Shariff, 43, mendirikan rumah tangga pada 24 Disember 2017. Menerusi perkahwinan terdahulu, Shariff mempunyai dua cahaya mata. – HIBGLAM
