‘Harap Nubhan sama-sama beritahu anak berita cerai’ 

BEKAS isteri kepada penyanyi Nubhan, Dr. Afifah Hidayah Tawfek berharap agar bekas suaminya dapat memberikan kerjasama untuk bersama-sama memaklumkan berita perceraian mereka kepada anak-anak.

Afifah atau nama lengkapnya Afifah Hidayah Tawfek, 35, enggan menjadi satu-satunya individu yang menyampaikan berita sensitif itu kerana bimbang akan memberi kesan emosi kepada anak-anak.

“Saya harap Nubhan dapat bekerjasama untuk beritahu kepada anak-anak. Kita sama-sama beritahulah. Buat masa sekarang saya cuma beri beralasan yang ayah mereka sibuk bekerja.

“Saya tak nak jadi watak jahat ketika beritahu berita buruk ini.

“Jadi, saya tidak mahu saya sahaja yang akan kongsikan berita buruk ini,” katanya kepada HibGlam, hari ini.

Afifah atau lebih mesra disapa Dr. Fie itu turut memaklumkan bahawa dia sentiasa mendapatkan maklumat daripada pihak sekolah mengenai perkembangan emosi anak-anak.

“Saya ada tanya cikgu di sekolah tentang perkembangan anak-anak.

Alhamdulillah tiada perubahan drastik, tidak menangis, tiada kawan ejek, semua baik.

“Saya selalu tekankan abah keluar bekerja. Cuma nak cakap berpisah, itu belum lagi nak ceritakan kepada anak-anak,” luahnya.

Kongsinya lagi, anak sulungnya nampak lebih memahami keadaan namun anak keduanya kerap bertanya tentang Nubhan.

Anak pertama saya rasa sudah boleh faham jika saya beritahu tapi anak kedua pula ada bertanya kenapa Abah tak balik, kenapa tak ikut Abah.

“Setakat ini saya belum beritahu perkara sebenar kepada anak,” kongsinya.

Hari ini, Mahkamah Rendah Syariah Sepang mengesahkan Nubhan sah cerai dengan bekas isterinya buat kali kedua.

Peguam yang mewakili Nubhan iaitu Mohd Ridzuan Ramli berkata lafaz cerai pertama dilakukan pada 19 Januari 2017 dan rujuk pula pada 21 Januari 2017 manakala lafaz cerai kedua berlaku pada 26 Ogos lalu.

Terdahulu, Nubhan memfailkan pengesahan dua lafaz cerai dan satu lafaz rujuk terhadap isterinya di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, membabitkan lafaz yang berlaku pada 2017 dan 26 Ogos lalu, selain satu lafaz rujuk selepas talak pertama.

Untuk rekod, Nubhan dan Afifah yang juga seorang doktor gigi mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, serta Afzan Nayille yang berusia tiga tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok