PELAKON Anzalna Nasir mensyukuri rezeki dan peluang yang dikurniakan dalam rumah tangganya terutama apabila suami hanya mahu dia fokus terhadap keluarga.
Menurut Anzalna atau nama penuhnya Nur Anzalna Md Nasir, 37, sebagai isteri, dia sentiasa mendoakan agar Allah mempermudahkan urusan pekerjaan teman hidupnya itu selain meluaskan lagi pintu rezeki mereka sekeluarga.
“Sebagai seorang isteri, saya selalu berdoa agar Allah permudahkan kerja suami dan murahkan rezekinya.
Saya bersyukur dia mengizinkan saya untuk berada di rumah kerana dia mampu menyediakan segala keperluan kami.
“Menjadi suri rumah bukan bermaksud kita tidak berkemampuan, tetapi kerana kita memilih untuk memberi tumpuan membesarkan anak-anak dan menjaga keluarga,” katanya dalam Threads.
Tambahnya lagi, setiap wanita memiliki jalan hidup dan pilihan masing-masing namun jika dikurniakan suami memahami, menyokong dan mampu menyediakan segala keperluan keluarga itu adalah nikmat yang wajar disyukuri.
“Setiap wanita ada pilihan masing-masing. Jika dikurniakan suami yang menyokong dan mampu menyediakan segalanya, alhamdulillah.
Sekurang-kurangnya, kita dapat membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang, perhatian dan ketenangan,” jelasnya lagi.
Untuk rekod, Anzalna mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Hanif Zaki, pada 2016.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Mohamad Eidrees, 6, dan Mohamad Emirhan, 3. – HIBGLAM
