TEKA-TEKI fasa bahagia Sissy Imann akhirnya terlerai apabila penyanyi dan pelakon itu mengesahkan bakal berkahwin dengan seorang doktor, bulan ini.
Sissy atau nama sebenarnya Sissy Imann Mohammad Kamil, 29, berkata, keputusan besar itu hadir selepas hubungan yang bermula ringkas tiba-tiba berkembang menjadi ikatan lebih bermakna.
“Betul, Insya-Allah saya akan melangsungkan pernikahan dalam masa terdekat. Itu sahaja boleh dikongsikan setakat ini
Saya mohon maaf tarikh secara spesifik itu tidak boleh maklum sebab hal itu lebih elok disimpan dahulu demi menghormati keluarga kedua-dua pihak. Jadi biarlah maklumat lanjut diumumkan pada waktunya.
“Mohon doa semua. Apa boleh disahkan ialah bakal suami bukan rakan industri. Tiada kaitan dengan muzik pun,” katanya kepada HibGlam.
Mengulas detik perkenalan, pelantun lagu Mungkin Kamu itu berkata, semuanya berlaku dengan pantas.
Sikap jejaka itu yang menghormati keluarganya berjaya membuka pintu hatinya untuk melangkah ke jenjang pelamin.
“Kenal tahun ini. Rezeki kot, mungkin dah sampai masa. Persiapan pun dalam 70 peratus. Dia seorang doktor.
“Apa buat saya yakin, dia sangat menghormati keluarga. Itu keutamaannya. Usia dia tak dapat dikongsikan dahulu, nanti bila sudah sah semuanya barulah saya cerita.
Sekarang kami belum bertunang. Terus nikah, cuma akan ada sesi bertunang dahulu sebelum akad nikah. Hujung bulan ini, Insya-Allah,” ujarnya pada pelancaran lagu terbaharunya berjuful Dengan Kamu, di sini, hari ini.
Paling penting pelakon Kariah Cak Pong itu, hubungan mereka tidak bermula dengan rasa cinta sebaliknya sekadar kenalan biasa sebelum lelaki itu menyatakan hasrat serius mahu menyuntingnya sebagai suri hidup.
“Kami tak bercinta pada mulanya. Kawan sahaja. Sampailah satu hari dia minta izin untuk jumpa ayah. Ingatkan nak bincang soal kolaborasi. Rupanya dia datang untuk beritahu niat sebenar.
Ayah pun tanya, kalau nak ke fasa seterusnya, bila nak kahwin? Lelaki tu cakap paling cepat tiga bulan, paling lambat enam bulan. Kami semua terkejut tapi itulah perjalanan takdir,” dedahnya.
Bercerita lanjut mengenai perkenalan mereka, Sissy mendedahkan takdir menemukan mereka ketika dia mendapatkan rawatan.
Kami mula kenal sewaktu saya jadi pesakitnya. Ketika itu dia tak tahu pun saya penyanyi. Dia memang tak tengok televisyen,” katanya.
Terdahulu, Sissy mencetuskan tanda tanya dalam media sosial apabila memuat naik perkongsian menunjukkan dia memakai cincin, seolah-olah sedang melalui fasa bahagia.
Dalam perkembangan lain, Sissy turut melancarkan single baharunya, Dengan Kamu yang boleh didengari di semua platform digital. – HIBGLAM
