‘Alami gangguan usus, baru tahu saya alah makanan laut’

KERAP sakit perut selain berlaku gangguan pada usus sehingga menganggu aktiviti harian, penyanyi dan pelakon Daiyan Trisha mendedahkan dirinya disahkan alahan terhadap makanan laut.

Ujar Daiyan atau nama sebenarnya Daiyan Trisha Mohd. Nasaruddin, 31, alahan tersebut tidak muncul dalam bentuk lazim seperti kegatalan kulit atau sesak nafas, sebaliknya memberi kesan terus kepada kesihatan usus.

“Baru tahu saya ada alah udang, ketam dan kerang, macam tak percaya.

“Dah makan semua itu sepanjang hidup saya. Saya suka makanan laut, mengapa ini berlaku kepada saya?,” katanya dalam Threads.

Tambah pelakon Project High Council itu, alahan tersebut merosakkan keseimbangan ususnya sehingga membawa pelbagai masalah berturut-turut.

“Alahan ini bukan jenis gatal atau sesak nafas.

Ini alahan yang ganggu usus dan membuatkan badan jadi tak sihat.

“Saya akhirnya dapat jawapan kepada semua persoalan saya, memang menangislah,” luahnya.

Pendedahan tersebut pantas mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang turut bersimpati.

Membalas komen salah seorang netizen, pelantun lagu Penat itu menjelaskan dia perlu berpantang seketika sebelum kembali menikmati makanan laut.

Saya masih boleh makan makanan laut, cuma kena berhenti dulu sebab nak rawat usus.

“Kemudian boleh makan semula tapi dalam pemantauan,” ujarnya.

Peminat membanjiri ruangan komen dengan kata-kata semangat, malah menasihati Daiyan supaya terus menjaga kesihatan agar tidak menjejaskan gaya hidup serta jadual kerjanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok