‘Saya berguraulah, itu hanya konten’ – Aliff Syukri nafi eksploitasi kucing

DIKECAM tidak berhati perut, usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri menegaskan video tular memaparkan dirinya seolah-olah mahu menjual kucing sedang mengandung hanyalah gurauan spontan tanpa sebarang niat tersirat.

Ujar Alif atau atau nama sebenarnya, Aliff Syukri Kamarzaman, 38, dia merupakan pencinta kucing dan hanya berseloroh selain berpendapat isu tersebut tidak wajar diperbesar-besarkan netizen sebagai modal kecaman.

Saya hanya berguraulah!. Jujurnya, saya memang pencinta kucing dan haiwan di rumah saya yang tular dalam media sosial itu mengandung.

“Maaf cakap, tahi dia (kucing) memang busuk di rumah tapi takkanlah saya nak buang kucing?

“Ketika itu saya tanya siapa nak beli dan kalau ada, saya jual sahajalah. Alahai itu pun nak viral,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelantun lagu Abang Nak Tegur itu, video yang mencetuskan polemik tersebut sebenarnya dirakam secara rawak sewaktu dia sedang sibuk menguruskan hal rumah.

“Saya kat rumah berak pun tak sempat, maksudnya saya memang tiada masa untuk diri sendiri. Jujur, video itu cuma konten dan saya terlepas cakap.

Saya terlalu sibuk, saya cuma buat live untuk konten sahaja. Tak baik netizen kutuk saya, benda buruk semua nampak, benda baik tak nampak. Itulah masalah orang Malaysia.

“Saya dah padam video itu sebab kena kecam. Saya nak jadi orang baik,” ujarnya.

TANGKAP layar salah seorang netizen menyelar sikap Aliff yang didakwa memelihara kucing bukan kerana sayang tetapi mahu mengeksploitasi haiwan itu. 

Sementara itu, isterinya, Datin Seri Nur Shahida juga tampil menjernihkan keadaan dengan menegaskan suaminya tidak pernah berniat menjual kucing berkenaan.

Tidaklah, mana ada dia jual kucing. Dia saja melawak. Siapa tak kenal Aliff Syukri? penuh dengan celoteh dan seloroh.

“Sebenarnya kucing itu milik anak kami, Qadejah El Zahra. Dialah yang jaga, sampai periksa kutu, potong kuku, semua dia yang buat.

“Kalau jual mahu mengamuk anak saya sebab dia sangat sayang kucing itu,” jelasnya.

Terdahulu, kecoh dalam Threads apabila netizen meluahkan rasa kecewa selepas bapa enam anak itu mahu menjual kucing mengandung selain menyifatkan haiwan itu sebagai baka tidak bagus, buruk dan hodoh.

Situasi tersebut mencetuskan polemik dalam kalangan pencinta haiwan yang mendakwa pengasas kosmetik itu sengaja mahu mengeksploitasi haiwan peliharaan tersebut. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok