Prestasi promosi tidak capai sasaran, konsert Lagenda Nada Murni ditunda

KONSERT Lagenda Nada Murni yang sepatutnya berlangsung di Idea Live Arena, Damansara pada 7 Disember ini ditangguhkan ke tarikh lain atas beberapa faktor tidak dapat dielakkan.

Penganjur, Karri Talk Production dan Westzone Entertainment berkata, penundaan diputuskan selepas penilaian menyeluruh membabitkan pasukan produksi, artis serta rakan kerjasama utama.

Pihaknya menjelaskan, beberapa komponen persiapan termasuk prestasi promosi tidak mencapai sasaran asal selain keperluan penyelarasan dalaman belum ke tahap optimum untuk memastikan penganjuran sebuah konsert berkualiti tinggi.

“Penangguhan ini dibuat demi menjaga kepentingan semua pihak termasuk penonton, rakan strategik, penaja serta artis terbabit.

“Kami kini dalam proses mendapatkan tarikh baharu yang sesuai dan akan memaklumkan jadual terkini sebaik mendapat persetujuan semua artis utama termasuk Ustazah Asma’ Harun serta kumpulan yang membuat persembahan.

“Penyertaan mereka menjadi keutamaan dan perbincangan sedang dijalankan dengan pihak pengurusan masing-masing,” kata kenyataan dalam Instagram.

Bagi pemegang tiket pula, pembeli yang ingin membuat tuntutan bayaran semula boleh menghubungi penganjur atau akaun rasmi @ilassotickets dan @fantopia_io bagi proses lanjut.

Terdahulu, berdasarkan perancangan asal, buat pertama kali selepas 35 tahun, ahli asal Nada Murni yang kini bergerak di bawah kumpulan Hijjaz dan Rabbani bakal disatukan di pentas sama.

Persembahan ini dijangka mengimbau nostalgia era kegemilangan nasyid 80-an dengan lagu-lagu malar segar seperti Di Pondok Kecil, Di Sini Kami Berkumpul dan Tanpa Agama.

Selain itu, penonton juga bakal disajikan persembahan eksklusif artis jemputan seperti Saujana, Akhil Hai dan Pak Dinie Juri yang tampil dalam segmen khas. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok