KETIKA filem Adik Manja arahan Othman Hafsham meledak di pawagam pada 1980, nama Dharma Harun Al Rashid yang membawa watak Cikgu Azmi mula menjadi sebutan.
Fizikal tinggi lampai pada usia baru mencecah 23 tahun ditambah sifat humor ditonjolkan dalam filem itu selain dilengkapi pakej wajah kacak membuatkan namanya mekar dihati peminat.
Tahun sebelumnya, Dharma muncul dalam filem komedi arahan Allahyarham Datuk Aziz Sattar, Prebet Lapok bersama nama besar termasuk AR Badul.
Nyata rezeki tidak salah alamat, akuinya dalam pertemuan dengan HibGlam pada awal Julai lalu, pengembaraan sebagai anak seni bagai dipermudahkan.
Katanya, tahun sama dengan kegemilangan Adik Manja, beliau tampil pula dengan album sulung berjudul Jika Kau Bermimpi Aku Disisimu di bawah label WEA Records.
Anak jati Ipoh, Perak itu tidak menyangka minat terhadap muzik merealisasikan impian bekerja dengan dua komposer terbilang iaitu Datuk Ahmad Nawab serta Akbar Nawab.
“Macam mimpi. Filem meletup (box office) dan dapat buat album. Saya bersyukur sangat. Masa itu tiada laman sosial, tapi ke mana-mana orang kenal, ajak bergambar,” kongsinya.
Walaupun ketika kunjungan penulis dan jurugambar kesihatannya kurang memuaskan dengan berat badan turun mendadak sehingga tinggal 45 kilogram, beliau tetap menggagahkan diri melayani tetamu.
Ramah berkongsi perkembangan terkini, sesekali sorotan matanya terarah ke luar pintu gelangsar kediaman disewa bersama dua anaknya, Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 36, dan Siti Qurratu Aini, 37.
Tidak dapat ditebak apa yang berada di fikirannya, cuma barangkali pemandangan dari aras 34 pangsapurinya mampu menenangkan perasaan pelakon, penyanyi, pengarah dan penerbit itu.
Biar pergerakan agak perlahan, Dharma, 68, tidak lokek ‘belanja’ kami petikan string gitarnya selain gigih bangkit dari sofa diduduki ke keyboard di depan balkoni untuk membawakan serangkap lagu berbahasa Inggeris.
Itulah juga pertemuan terakhir penulis dengan insan penyayang yang sarat sifat kebapaan walau permata hatinya sudah dewasa, sifat pelindung dapat dilihat dalam setiap bicara.
Malah beliau juga dengan bangga sempat menunjukkan gambar puteranya di atas almari sewaktu menerima Anugerah Dekan dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
Sebelum meminta diri selepas hampir dua jam berbual, Dharma yang pernah mengalami serangan strok pada 2019 menyatakan tidak risau jika ajal menjemput, cuma bimbang ‘pergi’ tanpa sempat mengucap.
Apa pun, pemergian figura dihormati ramai itu bersendirian sepulang anaknya ke rumah sekitar pukul 9.10 pada 25 November lalu, sudah lepas segala hal dunia buatnya.
Mengimbas catatan kerjaya, pada 1992 Allayharham Dharma melakar sejarah peribadi apabila diberi peluang beraksi dalam filem aksi Hollywood berjudul Fifty/Fifty, lakonan bersama Peter Weller yang juga pelakon utama filem ikonik Robocop.
Filem tersebut menjalani penggambaran di beberapa lokasi tumpuan di sekitar Asia Tenggara termasuk Malaysia dan Dharma antara wajah tempatan yang diberi kepercayaan produksi antarabangsa itu.
Selang tujuh tahun kemudian, pelakon itu sekali lagi mencuri perhatian apabila muncul dalam filem epik Anna and the King (1999), arahan Andy Tennant yang dibintangi dua bintang ternama, Chow Yun-Fat dan Jodie Foster.
Filem berskala mega itu turut menjalani penggambaran di Malaysia dengan Dharma memainkan peranan sebagai watak pembantu tempatan.
Walaupun bukan karakter utama, kehadirannya dalam kedua-dua filem itu menjadikan Dharma antara pelakon Malaysia yang berjaya memecah tembok arena perfileman antarabangsa pada era itu.
Antara filem lakonannya yang lain adalah Mama Oh Mama (1981), Sikit Punya Gila (1982), Langit Petang (1982), Ke Medan Jaya (1983), Aku Yang Berhormat (1983), Talak (1984) serta Perawan Malam (1988).
Walau kini Dharma Harun Al Rashid sudah tiada, jasa serta sifat baik dimiliki terus menjadi sejarah serta memori manis buat semua yang mengenalinya. – HIBGLAM
