PENYAMPAI radio, Fizi Ali memohon maaf dan enggan memanjangkan isu mengenai luahan hati bekas isterinya, Shakilla Khoriri dalam media sosial sehingga menimbulkan kekecohan, baru-baru ini.
Menurut Fizi atau Mohd Hafizudin Alimudin, 36, mengakui terkejut apabila Shakilla membangkitkan isu tidak berhubung dengan anak mereka, Ameena Sofia lebih seminggu sedangkan sebelum ini komunikasi antara mereka baik.
“Selalunya saling berhubung dan memang dia akan mesej dulu maklumkan ‘boleh tak nak hubungi?’.
“Jadi saya beranggapan perkara tersebut berterusan sampai bila-bila, tetapi apabila saya di Tanah Suci, tiba-tiba dia muat naik status luahan sebegitu dalam media sosial.
“Tak apalah, mungkin khilaf daripada saya sendiri dan minta maaf kepada yang mungkin terasa hati atau rasa saya tak bertanggungjawab. Dengan 10 jari, saya minta maaf dengan semua yang berlaku,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis Pra Kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-37, di sini semalam.
Tambahnya, fokusnya ketika di Tanah Suci hanyalah untuk beribadah memandangkan ini merupakan umrah pertamanya namun turut diuji dengan kesihatan anak bongsu, manakala isterinya, Siti Zulaikha, juga kurang sihat.
Dia juga berharap hal tersebut tidak terus dibangkitkan Shakila selain ingin menyelesaikan secara privasi tanpa melibatkan campur tangan pihak lain.
“Ameena ada saja ingat beli barang untuk mak dia. Tapi tak adalah sampai nak paksa hubungi sebab kami tengah umrah.
“Benda macam ini boleh saja mesej terus. Bila jadi besar, jadi tak syok. Saya tak pasti ada orang lain cucuk atau tidak, tapi lebih baik selesaikan secara privasi.
“Bila saya hantar anak semula pada dia, tiada masalah apa-apa pun. Sudah selesai,” katanya lagi.
Terdahulu, Shakilla baru-baru ini mendakwa sudah sembilan hari tidak mendengar khabar Ameena yang mengikui Fizi mengerjakan ibadah umrah.
Fizi dan Shakilla sah bercerai pada Disember 2021 selepas empat tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Ameena yang kini berusia enam tahun.
Fizi seterusnya kembali bergelar suami selepas mendirikan rumah tangga dengan Zulaikha pada 23 Oktober 2023. – HIBGLAM
