JENAZAH pelakon legenda, Allahyarham Dharma Harun Al Rashid selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selaseh, tepat jam 12.30 tengah hari tadi.
Kira-kira 100 hadirin mengiringi perjalanan terakhir bintang besar era 70-an hingga 90-an itu, termasuk ahli keluarga, sahabat handai, rakan artis serta peminat yang mahu memberikan penghormatan terakhir.
Antara rakan artis yang hadir ialah Datuk DJ Dave, Mubarak Majid, Noor Kumalasari, Datuk Yusof Haslam dan beberapa penggiat seni rapat arwah.
Terdahulu, jenazah dimandi serta disolatkan di Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, di Taman Sri Rampai sebelum dibawa ke tanah perkuburan.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir sendirian di kediamannya di Wangsa Maju, malam tadi, meninggalkan khazanah seni tidak ternilai buat industri perfileman tanah air.
Sepanjang lebih tiga dekad berkarya, Dharma yang berasal dari Ipoh menjadi antara hero pilihan utama penerbit.
Penampilannya di layar perak membentuk wajah baharu dunia lakonan, malah menjadi rujukan generasi pelakon selepasnya.
Antara karya ikoniknya termasuk Adik Manja, Sikit Punya Gila, Talak, Mama Oh Mama, Langit Petang, Aku Yang Berhormat, Orang Kampung Otak Kimia, Ke Medan Jaya serta filem Hollywood, Anna and the King.
Bagi naskhah terakhirnya, Adik Manja Returns pada 2012, arwah memikul tiga peranan serentak iaitu pengarah, penulis skrip dan penerbit.
Allahyarham turut dianggap legenda kerana pernah bergandingan dengan nama-nama besar seperti Allahyarham Neng Yatimah, Allahyarham Ahmad Mahmud, Allahyarham Azean Irdawaty, AR Badul, Noor Kumalasari, Allahyarham Noreen Noor dan ramai lagi.
Dalam dunia muzik, arwah pernah merakamkan album Jika Kau Bermimpi Aku Di Sisimu terbitan WEA Records pada 1980, menampilkan sisi kreatifnya sebagai penyanyi.
Turut kelihatan memberikan penghormatan terakhir ialah Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
Beliau turut berkongsi rasa simpati terhadap dua anak arwah yang masih menuntut di ASWARA.
Sebelum ini, arwah pernah berdepan tekanan hidup sehingga hampir dihalau dari rumah sewa akibat tunggakan RM7,500. Kisah itu mencetuskan simpati ramai, sebelum arwah menerima bantuan daripada KARYAWAN, Pusat Zakat dan Yayasan Budi.
Namun masalah kesihatan terus membelenggu, beliau kehilangan selera makan hingga berat badan jatuh drastik daripada 85 kilogram kepada 45 kilogram, selain menghidap gastrik, asma serta bengkak pada jantung, paru-paru dan tiroid. –
