Ingatkan sudah sihat, terkilan tak sempat ziarah arwah – Mubarak Majid

PELAKON veteran, Mubarak Majid mengakui hatinya berat menanggung rasa terkilan kerana tidak berkesempatan menziarahi Allahyarham Dharma Harun Al Rashid sewaktu sahabatnya itu diuji masalah kesihatan.

Ujar Mubarak atau nama sebenarnya Mohamad Mubarak Abdul Majid, 69, situasi itu seakan-akan menampar dirinya apabila menerima perkhabaran pemergian Allahyarham malam tadi.

“Saya tak sempat ziarah dia, itu yang buat saya kesal, terkilan. Tiba-tiba saja dapat tahu.

Waktu mula dapat tahu dia sakit, kemudian Aida pernah tawarkan dia berlakon, saya ingat dia dah sihat. Jadi saya fikir tak ada apa sangat.

“Rupanya tak lama selepas itu, hari ini kita dapat berita pemergiannya,” katanya kepada HibGlam.

Tambah pelakon Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu, kali terakhir dia bertemu Allahyarham Dharma sudah terlalu lama sehingga sukar diingati.

Tak ingat bila kali terakhir saya jumpa arwah, masa itu dia sihat lagi. Memang ada niat nak melawat, cuma kadang-kadang tak sempat. Ada saja halangan.

“Tahu-tahu saja malam tadi dia pergi. Sebab itu saya luangkan masa untuk datang ziarah,” ujarnya selepas memberi penghormatan terakhir buat Dharma di Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, Sri Rampai, hari ini.

Paling penting kata Mubarak, Dharma bukan hanya rakan seperjuangan, malah seorang insan berbudi pekerti yang sentiasa menjaga disiplin kerja.

“Dia seorang susah dicari ganti, seorang yang baik. Orang lama kata, dia memang budiman.

Dia menepati masa, kalau berjanji memang tepat. Kalau nak berbual, nak bincang apa-apa, dia jenis tak berkira,” luahnya.

Ujarnya lagi, pemergian pelakon Adik Manja Returns meninggalkan satu ruang besar dalam dunia seni tempatan.

Saya rasa satu kehilangan besar. Kita boleh anggap dia legenda seni negara.

“Sekarang susah nak cari pelakon boleh bawa watak bersahaja seperti dia. Kebanyakan pelakon sekarang bukan nak kata tak bagus, cuma ramai kurang asas akademik dan itu sebab sukar nak lahirkan pelakon berskil daripada bakat tulen,” tuturnya.

Untuk rekod, Allahyarham Dharma, 68, dilapor meninggal dunia sendirian di kediamannya di Wangsa Maju, malam tadi.

Berita duka itu dimaklumkan anaknya, Syafiq, menerusi hantaran Instagram Story. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok