MEMEGANG watak sebagai Mak Tanjung iaitu seorang isteri malang dalam drama Hikayat Batu Belah Batu Bertangkup mengajar aktres Diana Danielle untuk menjadi seorang ibu yang pemaaf.
Bagi pemilik nama penuh Diana Danielle Danny Beeson, 35, itu, karakter Mak Tanjung mudah diserapnya kerana dia juga seorang ibu kepada dua orang cahaya mata dan perlu melakukan banyak tugas dalam satu masa.
“Dalam hikayat ini, saya pegang peranan sebagai Mak Tanjung, kehilangan suaminya dan perlu membesarkan dua anak, Pekan serta Melur dalam kehidupan yang serba susah.
“Tidak sukar pun watak Mak Tanjung sebab pengarah terbuka untuk kaitkan situasi tersebut sama seperti zaman sekarang iaitu ramai wanita berstatus balu berjuang mengambil peranan sebagai ketua keluarga.
“Drama ini sarat dengan mesej positif yang bukan hanya boleh dikutip kanak-kanak dan remaja tetapi untuk ibu bapa juga,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Bukan menafikan tanggungjawab seorang ibu tetapi Diana berpendapat adakalanya rasa keletihan terlampau ataupun burn out pasti akan dirasai oleh mana-mana wanita termasuk berstatus balu seperti Mak Tanjung.
“Cerita ini, ketika tonton waktu kita kecil, kita dapat nilai-nilai murni yang lain. Namun, bila kita sebagai ibu bapa tengok, faham lain pula.
“Cerita ini boleh saya katakan ada kena mengena dengan isu burn out golongan ibu, macam-macam jenis tanggungjawab kita pegang sekarang.
“Sebagai wanita, kita bukan hanya duduk rumah jaga famili tetapi perlu kawal kestabilan kewangan keluarga dan sebagainya.
“Memang semua itu bukan bebanan tetapi lebih kepada tanggungjawab dan amanah, kalau terlalu penat pun kita akan rasa hilang semangat,” katanya lagi.
Ujarnya, drama tersebut bukan sahaja mengajarnya untuk mencari kekuatan diri sebagai seorang ibu sebaliknya menerapkan sikap membuang ego dalam diri untuk sentiasa memaafkan anak-anak.
“Bila tengok drama ini dari sudut pandang seorang ibu, satu hal yang saya belajar adalah perlu ada sifat memaafkan anak-anak.
“Kadang-kadang anak-anak kita tak perasan mereka buat silap terutama dalam tempoh mereka nak membesar dan mencari identiti sendiri sehinga tak fikir pun tentang mak atau ayah.
“Jadi, dari situ saya belajar bahawa mereka juga mahu ruang sendiri dan kita perlu lebih memahami dan bimbing mereka sebaik mungkin,” ujarnya.
Gejala sosial
Beralih kepada topik berbeza tetapi masih berkaitan anak-anak, Diana mengakui membesarkan dua cahaya mata iaitu Muhammad dan Nur Aurora pada zaman sekarang sangat mencabar ditambah pula kerisauan dengan gejala sosial yang semakin meruncing.
Dia juga tidak terlepas daripada dihurung rasa risau terutama banyak kes jenayah melibatkan remaja bawah bawah umur sejak kebelakangan ini.
“Bukan sahaja saya, anak-anak saya pun turut risau juga sebab remaja sekarang saling bercerita isu semasa di sekolah juga.
“Namun, saya jelaskan mengenai beberapa perkara berlaku kepada mereka tetapi dengan pendekatan sendiri supaya tidak wujud rasa menakutkan.
“Tapi, kalau lihat pada ekonomi sekarang, kita tak boleh salahkan ibu bapa sahaja untuk peningkatan masalah sosial, semua pihak bergelut dengan tekanan hidup masing-masing,” tuturnya.
Dalam masa sama, dia sentiasa berdoa agar anak-anaknya tidak terlibat dalam sebarang masalah terutama berkaitan buli atau jenayah bawah umur.
“Sebagai ibu, pastinya akan sentiasa berdoa supaya anak-anak saya dilindungi daripada sebarang perkara tak elok.
“Harapnya anak kita tidak menjadi punca untuk gejala tidak baik seperti pembuli atau sebagainya. Memang harus sentiasa peka dengan perkembangan anak-anak,” jelasnya.
Hikayat Batu Belah Batu Bertangkup yang mula bersiaran 14 November lalu menerusi siaran Astro Ceria dn turut dibintangi Arabella Allen, Fimie Don, Ezzanie Jasny, Aliff Satar, Elly Mazlein, Niezam Zaidi dan Bell Ngasri.
Naskhah enam episod arahan Shamyl Othman dan terbitan Red Communications Sdn. Bhd. tersebut diolah semula mengikut kesesuaian tontonan audiens pada masa kini.
