‘Satu hari nanti, saya terbit karya patuh syariah penuh’

MENGHASILKAN sebuah karya sehingga menjadi fenomena dan tular di negara jiran, pasti ramai yang melayangkan pertanyaan kepada Erma Fatima untuk mengorek rahsia kejayaan.

Tiada sebarang rahsia mahupun tip luar biasa, Erma, 57, sebaliknya berkata, rasa tanggungjawab untuk mendidik masyarakat adalah perkara yang dipraktikkan setiap kali menghasilkan sesebuah karya.

Kalau saya mati, ditanya oleh Tuhan atau malaikat, ‘apa yang telah kau lakukan dalam industri kau?’, saya mahu jawab ‘ada’.

“Saya cuba nak sampaikan mesej dalam karya supaya orang yang menonton mendapat manfaat. Seorang manusia kalau dia tidak boleh memberi manfaat kepada orang lain, lebih baik jangan jadi manusia,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Meski karyanya kerap dikecam hebat, Erma menegaskan setiap pengkarya perlu menghasilkan sebuah naskhah yang mampu berperanan menyebarkan mesej positif dan jangan sekadar untuk menjual sentimen hiburan semata-mata.

Getus pemilik nama penuh Fatimah Rahmad Ali itu, dia tidak pernah berniat untuk bersaing dengan mana-mana pengarah mahupun penerbit lain dalam menghasilkan sebuah naskhah yang hebat selama ini.

Jika karyanya menjadi bualan dan meraih rating tinggi, semua itu dianggap sebagai rezeki daripada Allah SWT.

“Tiada istilah bersaing untuk lebih hebat, itu yang saya didik diri sejak bergelar anak seni sehingga sekarang.

Saya mengharamkan hati saya ini untuk rasa tidak baik kepada orang lain.

“Walaupun hakikatnya kadang-kadang tak boleh kawal perasaan sendiri, tetapi saya akan secepat mungkin membuang rasa itu dan tidak mahu bersaing dengan rakan-rakan dalam industri,” tuturnya.

Sering muncul drama yang intipatinya jarang dilakukan orang lain, dia berkata, niat dalam hati hanya mahu melakukan sesuatu berkaitan agama, bangsa dan negaranya sahaja.

“Nak cari idea itu sangat mudah kerana semuanya sudah ada sekeliling saya. Saya tidak pernah bermimpi untuk membuat cerita yang ala-ala Korea atau Hollywood.

“Saya sangat bermimpi untuk membuat cerita tentang bangsa, agama, negara dan penyakit-penyakit yang sedang melanda bangsa saya dan masalah sosial yang semakin teruk.

“Semua mesej itu sekali gus menjadikan karya saya menjadi bahan yang boleh membawa kesedaran kepada penonton,” ujarnya yang juga penulis skrip drama Keluarga Itu dan Bidaah.

Patuh syariah

Dalam masa sama, setiap hari dia dalam usaha mengejar impian untuk menghasilkan karya patuh syariah yang memerlukan pelakonnya menutup aurat dan tiada babak bersentuhan.

“Salah satu daripada impian saya adalah nak menghasilkan karya-karya islamik yang patuh syariah satu hari nanti.

“Kalau ada duit dan penaja, memang saya nak cipta satu era membuat drama yang betul-betul patuh syariah.

“Selalu sangat saya dituduh buat karya ada unsur lucah kan, jadi saya nak ke arah lebih positif pula,” katanya lagi.

Bercerita tentang kecaman yang diterima selama ini, Erma memberitahu tidak pernah melayan setiap komen negatif, sebaliknya hanya membiarkan orang ramai terus membuat penilaian sendiri terhadap karyanya.

Kalau orang tanya sama ada meluat atau tidak dengan kecaman, saya sendiri tak baca semua kutukan itu sebab malas nak layan.

“Tapi normal, bila sudah benci, benda baik pun kita nampak buruk. Tak mengapalah, biarlah hanya Allah sahaja tahu apa yang saya buat.

“Saya juga ada membuat kesilapan, melanggar hukum-hukum Allah dan berharap satu hari nanti Tuhan beri peluang untuk hasilkan sebuah karya patuh syariah sepenuhnya. Insya-Allah akan tiba waktunya,” jelas Erma seraya menggulung perbualan.



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok