SELEPAS reda kontroversi penampilan seksi dalam muzik video Question, kumpulan Dolla dilihat bertemu Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di Bangunan Parlimen Malaysia, semalam.
Trio sensasi yang dibarisi Sabronzo, Tabby, Angel itu juga duduk semeja dengan Fahmi membincangkan perihal kerjaya.
Masa depan yang sangat menarik. Terima kasih YB Fahmi dan pasukan,” tulis kapsyen pada foto serta video dikongsikan dalam Instagram.
Begitupun, mereka tidak memperincikan perjumpaan tersebut sebaliknya hanya mengabadikan kenangan selain menyampaikan cenderamata kepada Fahmi.
Sementara itu, syarikat rakaman yang memayungi Dolla, Universal Music Malaysia turut menzahirkan penghargaan buat Fahmi dan Kementerian Komunikasi atas kesudian mengadakan pertemuan berkenaan.
“Satu penghormatan besar dapat duduk bersama Menteri Komunikasi petang ini.
Terima kasih atas perbincangan dan kesudian mendengar visi kami.
“Perkara menarik sedang menanti industri dan kami tidak sabar menjadi sebahagian daripadanya,” tulis kenyataan Universal Music di laman sosial.
Difahamkan, pertemuan itu turut disertai Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim.
Sebelum ini vifeo muzik Dolla, Question yang mencetuskan perdebatan ramai kerana disifatkan terlalu mencolok mata diturunkan dari YouTube selepas mendapat teguran banyak pihak termasuk Menteri Agama, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.
Pihak label juga mengakui maklum dan memahami kebimbangan ramai berhubung penampilan ahli kumpulan Dolla dalam MV terbabit yang dianggap tidak sesuai serta menimbulkan sensitiviti dalam kalangan penonton. – HIBGLAM
