MATANG dan positif, pelakon dan penyanyi Bella Astillah tidak menolak kemungkinan menghadiri majlis perkahwinan bekas pasangannya sekiranya diundang.
Menurut Bella atau nama lengkapnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, kehadirannya adalah semata-mata untuk meraikan pasangan mempelai tanpa sebarang niat lain.
“Sebenarnya cakap fasal jemputan, orang pun akan mendirikan rumah tangga. Asalkan niat kita baik. Niat dia pun baik untuk menjemput sebab itu pentingnya silaturrahim.
Kalau saya dengan ahli keluarga dia masih baik, bagi saya mengapa tidak sebab nak meraikan.
“Kita pun dah ‘move on’, tak salah,” katanya semasa segmen 3 Pagi Era, semalam.
Bagaimanapun, pelantun lagu Lebih Indah Berpisah itu menegaskan dia tidak akan hadir sekiranya hubungan dengan keluarga bekas pasangan kurang baik.
Kalau hanya dia menjemput dan bukan ahli keluarga dia, saya rasa tiada keperluan,” ujarnya lagi.
Kenyataan tersebut diberikan selepas Bella menjawab pertanyaan penyampai radio, Radin mengenai kesediaannya untuk menghadiri majlis perkahwinan bekas suami.
Terdahulu, Bella pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi Aliff Aziz pada 9 September 2016 namun bercerai buat kali kedua pada 13 Jun 2023.
Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ayden, 8, dan Ara yang kini berusia empat tahun. – HIBGLAM
