‘9 tahun bersama, pernah rasa putus asa, tiada harapan’

HAMPIR sembilan tahun melayari bahtera perkahwinan, pelakon Mia Ahmad mengakui hidup berumah tangga bukanlah sesuatu yang mudah.

Malah, Mia atau nama sebenarnya Samihah Ahmad Baderi, 37, tidak menafikan dirinya pernah melalui detik hampir berputus asa ketika berhadapan fasa mencabar sepanjang tempoh perkahwinan bersama suaminya juga bekas penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Izham Tarmizi Roslan.

“Kata guru saya, Prof Muhaya, hadiah yang terbaik buat anak-anak adalah perkahwinan yang baik.

Hampir sembilan tahun kami bersama, pernah rasa putus asa, tiada harapan, tak cukup buat sehabis baik dan dah cukup buat sehabis baik tapi hati masih berbolak-balik.

“Tanpa bakal untuk memahami, mendengar dengan baik dan memaknai setiap yang berlaku, mungkin saya hanya bertahan dalam perkahwinan,” katanya dalam TikTok.

Bagaimanapun, pelakon drama Hati Perempuan itu memaklumkan hidup berpasangan memerlukan ilmu dan kemahiran supaya hubungan mampu bertahan dalam jangka masa panjang.

“Ini adalah satu proses ibadah yang paling panjang, ianya bukan seperti yang digambarkan dalam filem atau media sosial.

Tetapi satu bentuk perjalanan yang memerlukan kesedaran yang sangat tinggi, niat yang baik, doa dan tindakan untuk terus belajar, aplikasikan dalam perkahwinan serta kehidupan. Belajar dan belajar lagi,” ujarnya.

Untuk rekod, Mia mendirikan rumah tangga dengan Izham pada 13 Januari 2017.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Sayf Issa, 6, Iriss, 4, Imaani, 2, dan seorang bayi lelaki. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok