Nak bersiaran atas tiang Merdeka 118 pula lepas ini – KJ

SELEPAS lima hari mengharungi cabaran berbasikal, penyampai stesen radio Hot FM berjaya menamatkan kayuhan sejauh 450 kilometer (km) dari utara tanah air ke Shah Alam, hari ini.

Bermula pada 20 November lalu, kesemua penyampai Bekpes Hot iaitu Khairy Jamaluddin atau KJ, Johan, AG dan Fara Fauzana menempuhi pelbagai dugaan yang menguji fizikal, mental serta cuaca tidak menentu.

Menurut KJ selaku pencetus idea misi Beskal Bekpes Hot, cabaran utama sepanjang berbasikal selama lima hari adalah untuk memastikan keselamatan semua peserta.

“Mencabar sebab kita kumpulan besar, ada yang laju, ada yang sederhana. Jadi, nak pastikan keselamatan.

“Contohnya kumpulan di hadapan bersama saya kena mainkan peranan untuk pastikan kumpulan awal sampai dulu dan kumpulan kemudian sampai dengan selamat.

“Tapi ini menunjukkan bahawa semangat berpasukan itu penting. Apa kita buat selain daripada gaya hidup sihat, kita cabar diri tetapi nak tunjuk bahawa perancangan dan kita jaga semangat pasukan,” katanya kepada Kosmo! Online di Galeria SA Sentral, hari ini.

Tidak hanya itu, KJ turut memaklumkan hasratnya selepas ini untuk melakukan siaran di atas bangunan kedua tertinggi di dunia iaitu Merdeka 118.

“Terjun udara itu satu tetapi ada satu bangunan di KL saya dah lama pandang. Bangunan tertinggi di Malaysia (Merdeka 118).

“Dia ada tiang, saya nak bersiaran dari atas tiang itu. Kalau boleh hantar mesej kepada pihak pengurusan, Hot FM nak bersiaran daripada sana,” ujarnya lagi.

Selain penyampai radio Bekpes Hot, kayuhan tersebut turut disertai beberapa selebriti seperti Ozlynn, Amar Bahrin dan kru serta rakan-rakan lain.

Sebelum ini Hot FM menerima pengiktirafan MBOR di bawah kategori melakukan Siaran Radio Terpanjang dan Tanpa Henti di Gunung Kinabalu.

Stesen terbabit melakar sejarah apabila bersiaran selama 24 jam tanpa henti sepanjang ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu melalui kempen Bekpes Hot Tawan Puncak Kinabalu pada November 2025.

Pada Ogos lalu, kembali melakar kejayaan apabila menakluk laut terbuka dengan bersiaran secara langsung di kedalaman 10 meter bawah paras laut di Pulau Bidong, Terengganu,

Lebih menarik, mereka diiktiraf sebagai Siaran Radio Secara Langsung Yang Pertama Dan Terdalam Disertai Penyampai Di Laut Terbuka serta mencatat ASEAN Records. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok