PENYANYI Datuk Elaine Kang sudah memasang niat untuk menarik diri daripada terus bertanding di pentas Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) walaupun sekiranya tidak tersingkir pada konsert minggu keempat semalam.
Menurut Elaine, 60, faktor kesihatan yang tidak mengizinkan merupakan punca utama dia sanggup melepaskan penyertaan daripada GV12.
“Kalau tidak tersingkir hari ini (semalam), saya sendiri akan mengumumkan untuk menarik diri dari GV12.
“Isu kesihatan tidak memberi peluang untuk saya meneruskan perjuangan dalam GV. Doktor pun sudah larang saya teruskan.
“Niat asal sertai pertandingan ini pun sekadar untuk ubat rindu peminat tetapi tak sangka bertahan sehingga minggu keempat,” katanya kepada HibGlam di sini, semalam.
Akui Elaine, dia mengakui sebak sebelum memulakan nyanyian duet bersama Dia Fadila semalam kerana memikirkan akan menjadi persembahan terakhirnya di pentas GV12.
“Sebelum menyanyi, air mata saya sudah bergenang kerana saya akan menarik diri dari pertandingan.
“Sangat sedih tetapi matlamat untuk hiburkan dan ubat rindu peminat sudah tercapai,” katanya lagi.
Tambahnya, dia berterima kasih kepada sokongan peminat yang tidak berhenti memberi semangat kepadanya sehingga minggu keempat dan tidak menolak sekiranya kembali aktif dalam dunia nyanyian selepas ini.
“Buat masa sekarang perlu berehat, semangat saya terus di sini ialah daripada para peminat yang doakan terus kuat.
“Kalau nak cakap tentang aktif kembali, tidak pasti lagi tetapi manalah tahu kalau tiba-tiba saya buat konsert mini tahun depan,” ujarnya.
Semalam, Elaine dan seorang lagi penyanyi, Shy8 diumumkan sebagai peserta pertama meninggalkan pentas GV12 pada konsert yang berlangsung di Auditorium MBSA.
Penyingkiran tersebut susulan meraih markah terendah daripada barisan juri tetap iaitu Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.
Elaine pada konsert semalam turut menjadi perhatian ramai apabila tampil memakai dres yang digantung dengan lebih anak patung Labubu. – HIBGLAM
