‘Jamin Exists Premium Live @PJ memang mewah’

SELEPAS selesai dengan rangkaian konsert tanpa henti sejak tahun 2019 hingga yang terbaru bersama Slam pada Julai lalu, Exists tidak pernah lelah dengan siri persembahan buat peminat.

Kerap, namun tidak bererti murah, malah membawa aura premium, sebegitulah hasrat yang mahu dilestarikan menerusi konsert Exist Premium Live kelak.

Didedikasikan sebagai penutup mahal 2025, kumpulan yang dianggotai Ujang, Ajai, Musa, Along dan Ezad itu bukan sahaja menjanjikan sebuah persembahan sarat nostalgia, malah menawarkan ganjaran istimewa buat penonton bertuah.

JioSpace Petaling Jaya akan menjadi saksi dua insan terpilih membawa pulang gitar akustik milik anggota kumpulan itu, Along selain sebuah set dram jenama PDP.

Ganjaran yang merupakan tanda penghargaan atas sokongan ramai itu diharap meninggalkan kenangan terindah sebagai penutup siri persembahan mega Exists bagi 2025.

Vokalisnya, Ezad berkata, dia bersama rakan sekumpulan mahu memastikan memastikan konsert ini menjadi penutup tahun yang mewah sebelum mereka memulakan rangkalan konsert pada tahun hadapan.

“Kami menghargai setiap peminat dan mahu setiap momen dalam konsert ini menjadi kenangan sentiasa terakam diingatan.

“Sepanjang lebih tiga dekad ditubuhkan, Exists mendapat sokongan tidak berbelah bagi dan kerana itu Along sedia menghadiahkan gitarya yang mempunyai nilai sentimental kepada penyokong kami.

Tanda terima kasih

“Penganjur, JioBuddy yang menjadi tulang belakang hari bersejarah itu nanti turut menawarkan set dram sebagai hadiah. Ini semua tanda terima kasih kami,” ujarnya.

Akui Ezad lagi, konsert berdurasi dua jam itu turut menampilkan sesi interaksi lebih dekat dengan penonton termasuk sembang tentang lagu-lagu hits Exists, momen rakaman serta kisah di sebalik setiap dendangan.

Sementara itu, orang kuat JioBuddy, Sean Ng berkata, penundaan konsert dari tarikh asal 4 Oktober adalah hasil persetujuan bersama Exists bagi memastikan persembahan ini benar-benar membawa makna premium.

“Konsert mereka back to back dan secara logiknya, Exists akan memainkan seleksi popular mereka sama seperti dalam kebanyakan persembahan atau konsert lalu.

“Bagaimanapun selaku penganjur, saya memberi jaminan Exists Premium Live @PJ memang bertaraf mewah seperti nama yang dipilih. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok