PERJUANGAN dua penyanyi, Datuk Elaine Kang dan Shy8 di pentas Gegar Vaganza musim ke-12 berakhir apabila diumumkan sebagai peserta pertama tersingkir dari program tersebut.
Shy8 dan Elaine meraih markah terendah pada konsert minggu keempat yang bertemakan ‘kolaboranza’.
Elaine dalam ucapannya selepas diumumkan tersingkir berkata, dia bersyukur kerana dapat menimba ilmu daripada para juri.
“Terima kasih kepada GV12, peminat dan barisan juri terutama Datuk Ramli MS yang serba tahu mengenai persembahan pentas.
“Terima kasih beri peluang kepada saya tersingkir,” katanya.
Pada konsert minggu keempat hari ini, Elaine berduet dengan Dia Fadila mendendangkan lagu Yesterday Once More nyanyian asal The Carpenters.
Sementara Shy8 pula membuat persembahan bersama Farahdhiya untuk lagu Siapa Dia Sebelum Daku.
Sementara itu, penyanyi asal Singapura Iskandar Ismail yang berduet dengan Liza Aziz meraih kedudukan tertinggi minggu ini.
Penyingkiran Elaine dan Shy8 memberi ruang kepada penyanyi lain iaitu Nubhan, Mark Adam, Krisya, Korie, Rahmat Ekamatra, Mell Sakura dan Freshies (Ejie dan Shima), Shae, Ruri Repvblik, trio Mendua (Pungky, Sasha & Diana) dan Iskandar merebut gelarab juara GV12. – HIBGLAM
