PELAKON dan bekas ratu cantik Sandra Lim tidak menyangka diberi peluang untuk melakukan babak bertempur bersama aktor Beto Kusyairy dalam filem Gayong 2 yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.
Sandra berkata, pengalaman paling tidak boleh dilupakan adalah meninggalkan bekas tapak kasut selepas melakukan aksi tendangan pada bahagian dada Beto.
“Dalam Gayong 2, ada adegan berlawan dengan Beto dan ada melakukan aksi memerlukan saya menendangnya pada bahagian dada.
“Saya risau tetapi dia kata buat dan tendang saja! Sebab nak nampak realistik, memang tendang betul-betul dan pastinya ada lebam sana-sini.
“Kemudian Beto beritahu ‘sakit hati saya Sandra’, sambil tunjuk bekas tapak kasut saya pada bahagian dadanya,” katanya kepada Kosmo! Online baru-baru ini.
Dia bagaimanapun bersyukur kerana Beto tidak memberi respons negatif sebaliknya masih boleh bergurau mengenai perkara tersebut dengannya.
“Walaupun dia beri respons okey, saya tetap rasa bersalah dan janji nak belanja kopi.
“Apa pun, bekerja dengan Beto memang sangat seronok terutama dapat peluang untuk ada babak bertempur dengannya.
“Dia memang tangkas bersilat dan banyak mengajar di set penggambaran serta tidak sukar untuk mencari keserasian,” ujarnya.
Sandra bagaimanapun tidak berkongsi lanjut mengenai tarikh tayangan filem Gayong 2 namun memaklumkan pengambaran melibatkannya sudah selesai. – HIBGLAM
