‘Doakan isteri saya, hujan makin lebat, jalan semua tutup di Hatyai’

PELAWAK hahrol Shiro mendedahkan isterinya, Nor Farhanah Syamimi dan anak lelakinya, Iskandar Rizqi merupakan antara rakyat Malaysia yang kini terkandas di Hatyai, Thailand susulan banjir kilat melanda daerah tersebut sejak beberapa hari lalu.

Menurut Shahrol atau nama lengkap Shahrol Azizie Azmi, 41, keadaan di Hatyai kini bertambah teruk dan mengakui bimbang dengan keadaan isterinya yang masih tidak dapat pulang ke tanah air selepas beberapa laluan ditutup kerana paras air meningkat.

“Dapat khabar berita daripada isteri saya yang sedang bercuti di Hatyai. Menurutnya, hujan semakin lebat dan beberapa tempat dilanda banjir serta jalan dah ditutup.

“Nak ke lapangan terbang untuk pulang pun dah tak boleh dan saya terlihat di Facebook keadaan semakin teruk di sana.

“Saya di Sabah, hati seorang suami sangat risaulah, memandangkan isteri bersama dengan anak kami, Iqi dan juga keluarga adiknya di sana,” katanya dalam satu hantaran Instagram.

Dalam pada itu, dia meminta semua pihak dapat menitipkan doa buat keluarganya dan seluruh rakyat Malaysia yang kini terkandas di Hatyai agar dapat segera pulang ke tanah air dengan selamat.

“Mohon titipkan doa kepada semua banjir yang terlibat, semoga situasi banjir di sana kembali pulih.

“Terima kasih kepada sahabat yang membantu. Kepada isteri saya, sayang saya tahu awak mampu harungi.

Terdahulu, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke wilayah selatan Thailand susulan bencana banjir yang melanda kawasan itu.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi dalam satu kenyataan berkata, kebanyakan wilayah di selatan Thailand kini dilanda banjir berikutan hujan lebat berterusan.

Difahamkan, kira-kira 4,000 rakyat Malaysia terkandas berikutan banjir di Hatyai dan beberapa kawasan sekitar selatan Thailand dilaporkan berada dalam keadaan selamat .

Kerajaan juga sedang mempergiat usaha menyelamatkan mereka yang terkandas agar dapat pulang ke tanah air secepat mungkin. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok